Pemerintah Markas Garison Gemas, Kolonel Shahruddin bin Ariffin, menyempurnakan upacara Penutup Program Motivasi Pendidikan Teras Keempat Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sungai Lui Barat, Jempol pada 28 Sep 2022.
Program ini diselaraskan oleh Rejimen 508 Askar Wataniah (Rej 508 AW) yang memfokuskan peningkatan kesedaran dalam kalangan komuniti masyarakat berkaitan tanggungjawab bersama dalam mempertahankan negara.
Antara aktiviti yang dilakukan dalam program ini adalah seperti ceramah motivasi dan penyampaian sumbangan peralatan pembelajaran kepada 160 pelajar sekolah yang terpilih daripada 17 buah sekolah menengah di sekitar Daerah Jempol.
Selain itu, pameran ketenteraan oleh Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD), promosi kerjaya Askar Wataniah oleh Rej 508 (AW) dan ceramah kerjaya oleh Lt Kol Zazali Makding dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut diadakan.
Program ini selaras dengan Teras Keempat PSM Tahun 2021-2025 iaitu Pengukuhan Kerjasama Tentera-Awam (CIMIC).
Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada wakil murid, pengetua SMK Felda Lui Barat dan ketua pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Jempol (PPDJ).
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Jempol, Putra Hashim.
Kredit - Markas Briged Pertama Infantri Malaysia
No comments:
Post a Comment