Monday, 22 August 2022

TRAGEDI KAPAL TLDM KD SRI PERAK KARAM DI LAUT CHINA SELATAN

 
Masih ingatkah tentang tragedi tenggelamnya kapal TLDM KD Sri Perak? Bekas anggota tentera laut, Ismail Bin Abd Aziz, menceritakan catatan pengalaman hidup mati di laut. 
 
Bekas Laskar Kelas 1 itu membuka bicara dengan berkata pengalaman yang bermula pada tanggal 08 Jan 1984 adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan sampai ke akhir hayat. 
 
Walaupun meninggalkan dunia ketenteraan pada 1990, namun Ismail atau lebih mesra dipanggil Pak Mail, setiap detik cemas semasa tenggelamnya kapal itu dan pengalaman 78 jam atas pelampung menanti bantuan tiba masih segar dalam ingatan Ismail bagaikan baharu saja berlaku. 
 
Pelayaran KD Sri Perak bermula 06 Jan 1984 dari pangkalan TLDM Lumut belayar secara konvoi bersama KD Sri Terengganu dan KD Hang Tuah ke Labuan. Ismail salah seorang daripada 29 anggota dan pegawai di atas kapal malang itu dan beliau bertugas sebagai anggota radio. 
 
Separuh daripada anak kapal KD Sri Perak adalah muka baharu termasuk Ismail yang melaporkan diri di atas kapal itu pada 25 Dis 1983. KD Sri Perak berada dalam keadaan baik untuk memulakan perjalanan selepas baharu menjalani penyelenggaraan di limbungan Kuala Terengganu. 
 
Pada 7 Jan, konvoi kapal singgah di Pangkalan TLDM di Woodland, Singapura untuk bermalam sebelum belayar ke Labuan pada keesokannya bagi siri latihan untuk pegawai kadet baharu TLDM. 
 
Namun ketika berada di Laut Cina Selatan antara Semenanjung dan Sarawak, KD Terengganu yang berada di belakang KD Hang Tuah menghadapi masalah teknikal menyebabkan konvoi berpecah dua. KD Sri Perak yang berada paling belakang diarah menuju ke Labuan secara sendirian, sementara KD Hang Tuah terpaksa mengiringi KD Terengganu untuk mendapatkan bantuan. Ketika itu ombak kuat menghempas kapal hingga anak-anak kapal susah untuk beristirehat atau tidur serta jarak pemandangan yang terhad. 
 
Akibat hempasan ombak yang terlalu kuat itulah dipercayai hatch atau penutup keselamatan atas geladak di hadapan kapal renggang menyebabkan air laut memasuki kapal sedikit demi sesikit. 
 
Ketika itu tiada siapapun yang menyedari air laut telah memasuki kapal dan sekitar pukul 04.30 petang, Ismail yang berada di buritan kapal dikejutkan dengan teriakan berkali-kali dari atas geladak yang meyuruh semuanya naik. 
 
Kapal berukuran kira-kira 30 meter panjang itu sudah mula tenggelam. Ismail pergi kebahagian hadapan dan mendapati air telah naik sehingga paras betis. Ismail kembali ke stesen dan terus menghubungi stesen radio Markas Panglima Armada namun tidak berhasil. 
 
Pelbagai usaha dilakukan untuk memaklumkan apa yang berlaku dan Ismail turut mencuba membuat panggilan MAYDAY namun tetap tidak berhasil. 
 
Dengan dibantu Ibrahim, Ismail tetap mencuba untuk berhubung menggunakan radio tetapi tiba-tiba radio GSB 800 mereka senyap, kerdipan lampu pada radio terpadam dan radio itu tidak lagi berfungsi. 
 
Memandangkan haluan kapal semakin tengelam dan keadaan bertambah cemas, pemerintah kapal mengarahkan semua anak kapal berkumpul di geladak buritan dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran Ismail pada masa itu. 
 
Menyedari kapal tidak lagi boleh diselamatkan, anak kapal dan pegawai bersiap sedia menerima arahan selanjutnya daripada pemerintah kapal dan mereka diarahkan untuk membawa senjata masing-masing berserta peluru dengan 2 kelopak sahaja setiap anggota bagi kesiagaan mereka ketika berada di dalam pelampung keselamatan di tengah laut. 
 
Pegawai memerintah memaklumkan satu daripada dua pelampung penyelamat di bahagian haluan telah hilang dipukul ombak. Atas inisiatif Laskar Kanan Bakar Satiman dan Laskar Kelas 2 yang dikenali sebagai Mokhti mereka memotong tali yang diikat pada pendakap dan mencampakkan pelampung keselamatan ke laut. 
 
Ketika itu haluan kapal tenggelam 45 darjah menyebabkan ada anak kapal menggelongsor dan terpaksa berpaut pada mana-mana besi untuk menyelamatkan diri dan ada juga yang terjatuh kelaut. Ia berlaku terlalu pantas dan anak kapal terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri. 
 
Pelampung penyelamat yang dicampakkan ke laut terbuka dengan baik dan anak kapal terus berenang menuju ke pelampung dan sempat melihat kapal itu tenggelam sepenuhnya di tengah lautan pada kira-kira pukul 05.00 petang. 
 
Anak kapal ketika berada dalam pelampung melihat tiga daripada rakan dalam air yang langsung tidak bergerak dan berkemungkinan meninggal semasa tergelongsor ke dalam laut. Mereka teramat sedih melihat mayat rakan yang terapung itu sambil menangis dan mendoakan agar mayat mereka ditemui serta roh mereka ditempatkan bersama orang yang beriman. 
 
Mayat ketiga-tiga mereka tidak dapat diambil kerana muatan pelampung telah tidak mengizinkan. 
 
Keadaan ombak yang kuat dan tinggi menolak pelampung dengan kuat mengikut arah angin sehingga dalam beberapa minit sahaja ketiga-tiga rakan itu hilang dari pandangan. 
 
Bersyukur kerana kejadian itu berlaku pada waktu masih cerah. Kalau ia berlaku ketika malam, mungkin lebih banyak lagi yang menjadi korban. 
 
Pelampung penyelamat yang hanya boleh menampung 15 orang kini menampung 26 orang dalam keadaan berhimpit himpit dengan masing-masing berada dalam posisi yang sama sepanjang masa. 
 
Keperluan ikhtiar hidup yang terdapat dalam pelampung penyelamat itu seperti air tin, biskut, alat memancing dan beberapa bahan lagi dikongsi bersama-sama. 
 
Ketika itu air menjadi keperluan yang amat penting. Dengan jumlah yang ramai bekalan tak cukup. Jadi, mereka banyak bergantung kepada air hujan untuk diminum sepanjang 4 hari 3 malam di tengah lautan. 
 
Semasa terapung dilaut tanpa arah, masa berlalu dirasakan amat perlahan. Pada malam pertama itu mereka melihat satu cahaya terang jauh di ufuk iaitu sebuah kapal dagang yang bergerak seakan menghampiri mereka. 
 
Ismail mengambil pistol kecemasan "Flare" untuk dinyalakan bagi menarik perhatian kapal selain rakan menjeri-jerit minta tolong. Tapi sebab alunan ombak kuat, ditambah kegelapan malam sukar bagi kapal itu melihat mereka yang kecil di lautan yang luas. Mereka hanya mampu melihat dengan kecewa kapal itu berlalu. 
 
Masuk hari kedua dan ketiga di tengah lautan kekuatan hati mula tercabar dan masing-masing mula merasa bimbang akan nasib yang bakal menimpa sekiranya bantuan tidak juga datang. 
 
Dengan kaki yang kejang kerana tidak boleh bergerak dan berlunjur dalam keadaan berhimpit himpit itu serta tidur yang hanya sekadar melepaskan pedih di mata cukup mencabar emosi dan fikiran ketika itu. 
 
Bekalan makanan yang ada di pelampung juga semakin kehabisan. Masing-masing sudah mula bersuara meluahkan kebimbangan dan rasa sedih sekiranya ajal datang terutama yang telah ada keluarga. Smua itu sukar untuk diungkapkan ketika itu. 
 
Pada hari keempat, 11 Jan mereka berdepan dengan masalah baharu, pelampung itu semakin kekurangan angin membuatkan perasaan bertambah bimbang. Menjelang tengah hari hujan sederhana lebat turun dan dengan air hujan itu ditadah untuk diminum. 
 
Selepas hujan berhenti, tiba-tiba mereka terdengar deruan enjin yang kuat di udara dan melihat sebuah pesawat jenis AP-3C ORION milik Tentera Udara Australia terbang rendah. 
 
Pesawat itu adalah daripada pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pasukan. Semua di atas pelampung melambai-lambaikan tangan ke arah kapal terbang itu dan ketika itu kegembiraan jelas terpampang pada raut wajah masing-masing malah ada yang menangis menjerit kesyukuran. 
 
Kapal terbang itu membuat satu pusingan dan kembali semula sambil melepaskan tembakan flare di empat penjuru pelampung kami untuk menandakan lokasi. Kemudian juruterbang membuat pusingan sekali lagi dan menjatuhkan bungkusan plastik berisi makanan dan minuman sebelum berlalu. 
 
Lebih kurang 1 jam kemudian, pada lebih kurang 05.00 petang, sebuah kapal dagang MV Thunderhead yang berada tidak jauh tiba untuk mengambil kesemua yang terselamat. 
 
Ada antara anak kapal yang terpaksa dipapah naik ke atas kapal kerana lemah dan kejang di kaki. Kesemua mereka kemudiannya diberi layanan dan makan minum di atas kapal itu sebelum mereka diambil pula oleh kapal KD Mahawangsa untuk diberikan bantuan sewajarnya. 
 
Keesokan harinya, 12 Januari, dua buah helikopter Nuri TUDM membawa mereka ke Kuching sebelum menaiki pesawat Hercules C130 TUDM yang terbang ke Ipoh. Mereka disambut oleh Panglima TLDM ketika itu Laksamana Madya Datuk Mohd Zain Mohd Salleh dan pegawai-pegawai kanan lain. 
 
Usaha mencari dan menyelamat 3 orang yang lemas di lautan terus dijalankan namun mereka gagal ditemui sehingga kini. 
 
Demi sebuah kedaulatan negara ini kami rela berkorban demimu Malaysia. 
 
Kredit Sadoon Lawang & (Osmund Becay) Sejahtera Malaysiaku Satu Masa Dahulu. 
 
Kredit: Navy The Best..

No comments:

Post a Comment