Mengapa sukar berlapang dada menerima
perbezaan pendapat. Berbeza pendapat itu lumrah, tetapi bukan sampai berbalah
dan bermusuhan. Perselisihan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam hari
ini amat merisaukan. Kita berbalah sama sendiri hingga diambil kesempatan musuh
yang mengalahkan umat Islam dengan mudah.
Media sosial seperti Facebook, Twitter dan
Instagram menjadi bukti betapa ‘penyakit’ ini semakin membarah. Masa berkawan
semua baik. Apabila berlainan aliran pemikiran, habis perkara buruk dibongkar
dan disebarkan.
Benarlah sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa
dalam kalangan kalian yang hidup selepas kewafatanku, maka pasti dia akan
melihat perselisihan yang banyak,” (Hadis riwayat Ahmad, no. 17144).
Amat menyedihkan apabila perbezaan
pandangan tidak diuruskan dengan baik sehingga membawa kepada budaya keji
mengeji, saling mengkafirkan dan menghina sedangkan pihak-pihak yang terlibat
pada hakikatnya masih bernaung bawah satu lembayung syahadah yang sama.
Akibat beza pendapat, macam-macam gelaran
dilabelkan. Bahasa kasar dan menghina dihamburkan keluar tanpa tapis. Macam
sudah hilang iman di dalam diri. Lupa dosa dan pahala. Terasa diri terlalu
hebat sehingga semua orang tidak betul.
Perbezaan pandangan wujud sejak zaman
Rasulullah SAW dalam pelbagai isu. Misalnya semasa Perang Badar, mereka berbeza
pandangan berkenaan kewajaran keluar ke Badar, juga isu hukuman yang perlu
dikenakan kepada tahanan perang. Tidak pula kita terbaca pergaduhan dan
pertelingkahan dalam kalangan para sahabat dalam hal ini.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, terlalu
banyak rekod sejarah berkenaan perbezaan pandangan dalam kalangan para sahabat.
Antara yang terawal adalah pemilihan
khalifah selepas Baginda. Selepas itu, berlaku perbezaan pandangan juga dalam
hal memerangi golongan yang tidak membayar zakat, keperluan menghimpunkan
al-Quran, berubahnya pendirian Sayidina Umar dalam masalah hukum bernikah
dengan perempuan yang beridah dan lain-lain.
Namun, kedua-dua belah pihak tetap saling
hormat-menghormati tanpa sedikit pun mengurangkan kasih sayang sesama mereka.
Islam terus berkembang dan kuat pada waktu itu.
Kalau mengaku sebagai Islam, mengapa kita
memutuskan silaturahim. Islam amat mementingkan persaudaraan. Sesama Islam
adalah bersaudara. Justeru kita ditegah menyakiti hati sesama muslim.
Sabda Nabi SAW: “Muslim yang satu dengan
Muslim yang lainnya adalah bersaudara. Tidak boleh menyakiti, merendahkan,
ataupun menghinanya,” (Hadis riwayat Muslim, no. 4,650).
No comments:
Post a Comment