Islam
amat menggalakkan umatnya bekerja dan mencari rezeki bagi meneruskan
kelangsungan hidup. Setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan dari
segi fizikal dan mental adalah dituntut agar bekerja.
Islam
amat memuji pekerja yang mahir lagi profesional sebaliknya menegah manusia
daripada sifat malas dan meminta-minta.
Terdapat
pelbagai jenis pekerjaan yang boleh dilakukan dalam kehidupan. Namun perkara
paling utama adalah memastikan agar pekerjaan yang dilaksanakan halal dan tidak
bertentangan dengan syariat.
Setiap
pekerjaan hendaklah dilakukan dengan niat yang betul bagi mentaati perintah dan
menjauhi larangan Allah SWT.
Rasulullah
SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa mencari
rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta dan dengan tujuan
memenuhi nafkah keluarga serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia
akan datang pada Hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di
malam purnama." (Hadis riwayat Baihaki).
Untuk
mencapai kejayaan, tugasan yang dilakukan hendaklah dengan sifat tekun dan
penuh komitmen. Sifat tekun bermaksud melaksanakan kerja, tugasan, amalan
bersungguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara, peraturan, disiplin
yang ditetapkan.
Islam
menyukai orang yang kepenatan di dalam mencari rezeki yang halal kerana ia juga
dikira sebagai ibadah sebaliknya mengecam mereka yang menganggur dan menjadi
beban kepada masyarakat.
Walaupun
Islam menyarankan agar bertawakal kepada Allah SWT di dalam setiap urusan
kehidupan, namun ia perlu dilaksanakan setelah berusaha melakukan pekerjaan
yang boleh mendatangkan hasil.
Rezeki
yang ditentukan oleh Allah di dalam kehidupan seseorang amat berkait rapat
dengan kerja dan usaha yang berterusan seperti kata pepatah 'Kalau tidak dipecahkan
ruyung manakan dapat sagunya.'
Pepatan
Arab juga ada menyatakan 'mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha ibarat
mengharapkan kapal belayar di daratan.'
Rasulullah
SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Jika kamu bertawakkal
kepada Allah dengan benar-benar tawakal nescaya Allah merezekikan kamu seperti
Dia merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang
petang dalam keadaan kenyang." (Hadis riwayat Ahmad)
Dunia
yang terbentang luas ini menyediakan rezeki yang mencukupi untuk setiap
penghuninya. Allah SWT menjadikan dunia ini ladang untuk manusia mendapat
nikmat di dunia dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat melalui
setiap usaha yang dilakukan.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan
Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Sesungguhnya,
rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT berada di mana-mana asalkan kita berusaha
mencarinya. Mencari bahan kitar semula dalam timbunan sampah juga mampu menyara
keluarga.
Biarpun
kerja itu menyebabkan badan kotor, tetapi yang penting ialah kebersihan hati
berusaha untuk mencari keredaan Allah SWT. Apa yang penting usaha itu
halal dan memberi kebaikan, ia dipandang mulia oleh Allah SWT.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih
baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya
sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya
sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Keberkataan
rezeki bukan berdasarkan banyak mana yang diperoleh. Akan tetapi
bergantung sejauh mana ia dapat memberi kebahagiaan hidup, kesejahteraan,
kedamaian, keselamatan, dijauhi daripada fitnah dan memberi kebaikan.
Walaupun
yang diperoleh itu sedikit, rezeki yang diberkati lebih bermakna berbanding
rezeki haram yang banyak.
Mana-mana
rezeki yang diperoleh secara tidak halal seperti dengan cara menipu, rasuah,
perjudian dan sebagainya tidak mendatangkan kebahagiaan kepada
pemiliknya.
Anak-anak
yang dibesarkan dengan makanan dibeli menggunakan wang haram akan mendatangkan
masalah kepada ibu bapa seperti perbuatan derhaka dan melakukan perkara yang
mendatangkan aib kepada keluarga.
Setiap
muslim perlu bersungguh-sungguh mencari rezeki agar tidak perlu meminta-minta
daripada orang lain. Allah SWT tidak akan mengubah nasib mana-mana
individu atau kaum, jika diri sendiri tidak mahu berusaha mengubahnya.
Kemiskinan
bukan satu takdir, atau bala yang tidak boleh diubah. Allah SWT memerintahkan
agar manusia berusaha mengubah nasib masing-masing menjadi lebih baik.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah
ar-Rad, ayat 11).
No comments:
Post a Comment