Aidiladha
juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Dikenali juga Hari
Raya Haji bersempena pada masa yang sama umat Islam melaksanakan ibadat haji di
Makkah. Manakala dinamakan Hari Raya Korban kerana mengingati kembali peristiwa
Nabi Ibrahim ingin melakukan korban terhadap puteranya Nabi Ismail.
Bagi
individu yang berkemampuan, sempena Aidiladha disunatkan melakukan ibadat
korban. Ibadat korban ialah menyembelih binatang ternakan pada Aidiladha
(selepas sembahyang sunat hari Aidiladha) atau pada hari Tasyrid (11, 12 dan 13
Zulhijjah - hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah) kerana ibadat kepada
Allah.
Sesiapa
melakukan korban tidak pada masa yang ditetapkan, maka tidak dianggap melakukan
ibadat korban. Menyembelih binatang bukan pada masa ditetapkan, kemudian daging
itu diagihkan kepada orang ramai, amalan itu dianggap sedekah dan hadiah.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Baragsiapa menyembelih korban sebelum sembahyang Hari
Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya. Barangsiapa menyembelih
korban sesudah sembahyang Hari Raya Haji dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia
telah menyempurnakan ibadatnya, dan dia telah menjalankan aturan Islam.” (Hadis
riwayat Muslim).
Pada
hari Aidiladha dan Tasyrik adalah hari kesyukuran dan kegembiraan untuk umat
Islam. Selain dianjurkan melakukan ibadat korban, pada hari-hari berkenaan
digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.
Bagi
memastikan kegembiraan dan semua orang dapat menikmati hidangan makanan yang
disediakan, maka pada dua perayaan dan juga hari Tasyrik diharamkan berpuasa.
Keutamaan
mengerjakan ibadat korban sepertimana dinyatakan Rasulullah dalam hadis
bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang paling disukai Allah pada hari
Aidiladha selain daripada mengalir darah (menyembelih korban) dan sesungguhnya
(sembelihan) itu akan datang pada hari kiamat nanti berserta dengan tanduk,
kuku dan bulunya semua sekali. Dan sesungguhnya darahnya akan berada di suatu
tempat yang ditentukan Allah sebelum menitik ke bumi. Oleh itu ikhlaskanlah
hatimu dengannya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi).
Antara
jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri,
lembu, dan kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak. Biri-biri hendaklah
berumur lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah berumur lebih
daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban mesti berumur
lebih lima tahun.
Binatang
yang ingin dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit seperti
carik daun telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit. Binatang yang
terlalu kurus juga tidak boleh dijadikan korban.
Dari
Bara bin Azli, telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah
dijadikan korban, iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak
berlemak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).
Mereka
yang melakukan ibadat korban disunatkan agar menyembelih binatang korban itu
sendiri sepertimana dilakukan oleh Rasulullah.
Jika
tidak mampu, maka saksilah upacara korban itu sendiri. Menyaksikan sendiri
ibadat korban mempunyai hikmahnya, iaitu ketika darah mula mengalir ke bumi,
ketika itulah Allah megampuni dosa-dosa yang lalu daripada orang yang melakukan
ibadat korban itu.
Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan
saksilah, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampun bagimu atas
dosa-dosamu yang lalu.” (Hadis riwayat Bazzar dan Ibnu Hibban).
Di
sebalik ibadat korban bukan setakat menyembelih seekor haiwan tertentu, adalah
sebenarnya satu latihan agar manusia sentiasa bersedia untuk berkorban jiwa dan
tenaga demi menegakkan dan mempertahankan agama Islam.
Daging
korban boleh dimakan oleh orang yang melakukan ibadat korban dan ahli
keluarganya, dalam kuantiti yang tidak melebihi satu pertiga. Daging korban
juga boleh diagihkan kepada orang yang berada, tidak tertentu hanya kepada
golongan fakir dan miskin sepertimana agihan zakat.
Lebih
afdal jika daging mantah diagihkan. Ini memberi peluang penerimanya memilih
sendiri cara masakan yang disukai. Bagaimanapun tidak ditegah daging korban
dimasak dan kemudian diberi makan kepada orang ramai, termasuk dalam bentuk
majlis jamuan.
Kebenaran
ini mempunyai maksud yang tersediri, antara lainnya membezakan ibadat korban
dengan zakat. Sekiranya syarat agihan daging korban sama seperti zakat, maka
daging itu tidak boleh dimakan oleh orang melaksanakan ibadat korban.
Bagaimanapun,
orang bernazar melakukan ibadat korban tidak dibolehkan memakan daripada daging korbannya, melainkan sekadar
beberapa suap.
No comments:
Post a Comment