Perpaduan
merupakan strategi paling ampuh untuk mencapai kejayaan dalam apa jua perkara
yang dilakukan. Dalam sebuah negara, perpaduan di kalangan rakyat menjadi
penentu kepada kejayaan sesuatu dasar yang dirancangkan.
Sesungguhnya
nikmat perpaduan jangan dipersia-siakan kerana tanpanya kehidupan ini akan
dipenuhi dengan kegawatan fizikal dan rohani. Tenaga dan masa harus ditumpukan
kepada usaha membina kejayaan hidup, dan bukannya mencipta bibit-bibit
perpecahan.
Mereka
yang sukakan pertentangan sesama sendiri dan menolak ikatan persaudaraan,
sebenarnya mencampakkan diri sendiri dalam kebinasaan. Kehidupan diumpamakan berada di tepi jurang
api neraka yang pasti terasa panasnya.
Kehidupan hanya akan kembali selamat jika kembali berpegang kepada
ajaran agama.
Al-Quran
dan sunnah adalah panduan hidup seluruh umat Islam yang paling mujarab
mengubati penyakit hati manusia.
Kehidupan yang dipimpin dengan nur keimanan dan ketakwaan pastinya akan
selamat selama-lamanya dalam redaan Allah.
Firman
Allah bermaksud: “Pada hari ini Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan
Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku sudah redakan Islam itu
menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3).
Nikmat
perpaduan sering dilupai apabila keadaan kehidupan yang semakin baik. Sepatutnya kita semakin memperkukuhkan
perpaduan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dalam keadaan hidup yang
telah baik itu.
Ajaran
Islam menyuruh kita sentiasa memperbaiki hidup agar semakin baik daripada
sebelumnya. Mereka yang kembali kepada keadaan lebih buruk daripada sebelumnya
dianggap sebagai mendustai nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.
Sikap
mudah lupa dan alpa menjadi barah dalam diri manusia yang sering membawa kepada
kemusnahan. Keadaan ini perlu dijauhi sebelum ia menjadi satu budaya dalam
masyarakat.
Sesungguhnya
kita ada sejarah dan pengalaman untuk dijadikan pengajaran. Mengapa masih
bermain api kelak nanti terbakar diri dan musnah seluruh kehidupan.
Kalau
kita mengaku berpegang kepada Islam, utamakan perpaduan dan bersatu. Itu
perintah jelas dari Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sesungguhnya perpaduan adalah
satu nikmat yang dibawa oleh ajaran Islam.
No comments:
Post a Comment