Sunday 4 August 2024

GILIRAN IBU BAPA TINGGALKAN KELANTAN

Sudah biasa golongan muda tinggalkan Kelantan kerana mencari peluang pekerjaan di luar Kelantan yang lebih baik. Jadi tidak pelik jika majoriti golongan muda Kelantan berada di luar Kelantan. Mereka yang tinggalkan Kelantan bukan sahaja untuk menjadi pekerja kilang yang terdapat di luar Kelantan, tetapi juga banyak di kalangan tenaga profesional 
 
Kelantan secara tradisinya banyak melahirkan pelajar cemerlang setiap tahun. Malangnya, apabila berkerjaya, mereka tidak berkhidmat di Kelantan. Mereka memilih mencurahkan kemahiran dan kepakaran di negeri lain.
 
Itu kisah golongan muda berhijrah keluar dari Kelantan. Sekarang ada pula kes golongan tua juga turut berpindah keluar dari Kelantan. Biarpun kes tidak ketara atau tidak banyak, ia sudah berlaku dan jumlahnya semakin bertambah.
 
Mengapa perkara ini terjadi? Adakah golongan tua ingin mencari kerja atau terpaksa menagih rezeki di negeri lain?
 
Jawapan mudah. Mereka bukan ingin mencari rezeki, sebaliknya ingin berada dekat dengan anak. Seperti telah dijelaskan, banyak golongan muda dari Kelantan berada di luar Kelantan dan sebahagian daripada mereka tidak bercadang atau tidak berpeluang untuk mencari rezeki di Kelantan.
 
Ada ibu bapa yang mempunyai sehingga lima atau enam anak, tetapi semuanya berada di luar Kelantan. Hendak menantikan kepulangan anak, menantu dan cucu, mereka masing-masing sibuk. Jadi, cara terbaik ialah ibu bapa berpindah tinggal bersama dengan anak.
 
Inilah yang berlaku sekarang. Mereka yang sudah pencen memilih untuk tinggal bersama anak di luar Kelantan. Rumah ditinggal kosong dan tidak diberikan sewa atau dijual kerana jarang-jarang sekali ingin balik dan tinggal di Kelantan.
 
Jika keadaan ini berterusan, pada masa akan datang Kelantan akan semakin sunyi dan tradisi Kelantan yang hebat akan hilang begitu sahaja.

No comments:

Post a Comment