Tuesday 13 August 2024

IKUT AKU PITIH AKU

 
Perkataan “pitih” adalah dialek Kelantan yang bermaksud “wang”. Manakala “pitis” pula sejenis mata wang yang digunakan pada masa dahulu. Jadi, ejaan yang digunakan untuk merujuk kepada wang dalam dialek Kelantan ialah “pitih”.
 
Pitih adalah milik individu. Jadi, terpulanglah kepada individu berkenaan cara untuk membelanjakan pitih itu. Sama ada hendak disimpan, diberikan kepada orang lain atau apa cara hendak digunakan.
 
Pun begitu, jika ada individu mengatakan atau mengungkapkan “ikut aku pitih aku”, itu tanda kesombongan dan hendak menunjuk-nunjuk. Hakikatnya, biarpun itu adalah pitihnya, janganlah mengungkapkan perkataan yang seolah-olah mengatakan bahawa dia “berkuasa” sepenuhnya cara mana hendak membelanjakan pitih itu.
 
Hakikat sebenarnya, pitih itu adalah anugerah Allah SWT yang perlu digunakan untuk kebaikan. Jangan sekali-kali angkuh dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
 
Sesiapa yang sombong dengan apa dikurniakan Allah SWT, maka itulah tanda hamba yang kufur kepada nikmat yang diperoleh.
 
Sesungguhnya Allah SWT pemberi nikmat menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa bagi yang kufur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)
 
Ingatlah, tiada satupun rezeki yang diterima oleh manusia, melainkan ia ditentukan oleh Allah SWT. Firman  Allah  SWT  dalam surah Hud, ayat 6 yang bermaksud: "Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menetapkan rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan.  Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)."

No comments:

Post a Comment