Saturday 27 July 2024

LEPAS CAKAP TIDAK SAYANG MULUT

 
Cara dan bahasa percakapan seseorang mencerminkan nilai keperibadian dan memberi gambaran keseluruhan kehidupan yang dilaluinya. Oleh hal demikian, individu yang bijak sentiasa menjaga tutur katanya agar tidak dinilai sebagai kurang sopan, tidak bijak dan gambaran buruk lain.   

Malangnya terdapat individu yang tidak berhati-hati ketika bercakap seperti tidak berasa apa-apa kesalahan mengeluarkan perkataan itu walaupun sedar perbuatan itu menyinggung perasaan atau mendatangkan keburukan kepada individu lain.  

Tidak keterlaluan dikatakan ada yang berbangga apabila dilabelkan mempunyai gaya percakapan buruk atau dikatakan ’tidak sayang mulut’

Individu yang menuturkan perkataan tidak baik berasa dirinya hebat dan tidak takut akan implikasi perbuatan itu kerana yakin tidak ada pihak lain yang akan berani menyanggahnya. Atau jika ada pihak lain mempertikaikan perbuatannya, akan ada pula pihak sealiran yang mempunyai kepentingan sama akan mempertahankannya.

Ada juga pihak yang menggunakan kedudukan atau pengetahuan dalam undang-undang dijadikan alasan bahawa apa yang diucapkan itu tidak salah atau tidak boleh dipersalahkan.

Inilah yang diingatkan oleh Rasulullah melalui sabda yang bermaksud: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-ruwaibhidhah”. Lalu baginda ditanya siapakah golangan al-ruwaibhidah? Maka baginda menjawab: “Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Inilah yang dikatakan politik dalam agama yang mengingatkan agar bertanggungjawab, bukan memecah belah ummah dengan maki hamin, mencaci, melabel orang dengan perkataan atau gambaran buruk disebabkan tidak sehaluan dengan kehendak hati kerana ingin mengejar keduniaan.

Setiap individu sewajarnya mengambil berat aspek ketelitian percakapan sebagai lambang peribadi yang murni. Hakikatnya, tiada orang yang suka akan mereka yang gemar bercakap lepas dan tidak memikirkan perasaan serta kesannya kepada orang lain. 

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment