Tuesday, 25 April 2023

CARA PERSEDIAAN TEMPAT MENTERNAK ITIK SERATI

 
Itik muscovy tempatan dikenali sebagai itik nila atau itik serati. Itik yang berbulu hitam dan putih biasa dipelihara oleh orang kampung untuk menghasilkan telur dan daging. Manakala baka yang berwarna putih pada keseluruhan badan merupakan jenis yang khusus untuk pengeluaran daging secara komersil.
 
Itik serati kampung telah lama dipelihara di kalangan penduduk kampung. Baka ini lasak dan sesuai dipelihara bebas yang sesuai dengan keadaan di kampung.
 
Penternakan baka itik serati daging pula dianggap masih baharu. Namun, ia semakin mendapat minat orang ramai untuk mencuba secara kecil-kecilan dengan jumlah kurang daripada 100 ekor untuk satu pusingan.
 
Biarpun diusahakan secara kecil-kecilan, perancangan atau pengetahuan asas perlu bagi memastikan usaha itu mendatangkan pulangan yang lumayan.

Pemilihan dan mendapatakan kawasan yang sesuai sangat penting dan memulakan perancangan yang baik agar suasana dan persekitaran nyaman dan selesa untuk itik membesar dan memudahkan pengurusan harian.
 
Kemudahan bekalan air untuk ternakan dan mencuci serta bekalan elektrik perlu ada. Tanah bekas lombong, kawasan tinggi atau kering ladang kelapa sawit sesuai untuk pengurusan sistem secara “tanam sampah” sama ada secara intensif atau separa intensif.
 
Disebabkan cuaca di Malaysia sentiasa panas dan lembap, reban perlu direka bentuk untuk mengurangkan ancaman iklim, memberi pelindungan itik semasa peringkat membesar sehingga peringkat jual.
 
Reban dibina menggunakan kayu dan beratap rumbia atau zink. Bumbung berbentuk dua rabung dan dinding terbuka membantu pengudaraan. Selain bahagian reban penyediaan bahagian legar berpagar di depan reban perlu, terutama musim panas.
 
Lantai simen mengelakkan kelembapan dan memudahkan pembuangan sarap setiap kali selesai satu pusingan ternakan. Sekam padi atau habuk papan digunakan sebagai alas lantai simen. Sarap perlu diurus dengan baik, jika basah ia harus dibuang dan ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan lantai reban sentiasa kering.
 
Bentuk dan saiz bekas makanan dan minuman berbeza mengikut umur itik. Bilangan juga perlu ditambah dari masa ke semasa untuk memastikan itik mendapat makanan dan minuman yang mencukupi.
 
Pengurusan itik muscovy terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat perindukan (1 hingga 2 minggu), peringkat umur (3 hingga 4 minggu) dan peringkat peringkat membesar (5 hingga 13 minggu).
 
Tempoh perindukan anak itik pedaging dari umur sehari hingga dua minggu sangat penting dan memerlukan penjagaan yang sempurna. Air minuman yang bercampur vitamin diberikan dengan segera. 

Suhu dalam reban ialah 35 darjah celcius diperlukan untuk minggu pertama dan dikurangkan setiap hari sehingga mencapai 27- 30 darjah celcius. Setelah itik minum dan bergerak cergas barulah diberi makanan peringkat awal.
 
Bidai sekeliling reban dipasang bagi melindungi anak itik dari kesejukkan dan mengawal suhu secara tetap dalam reban. Keadaan suhu dalam reban yang sesuai dan selesa dapat dilihat dengan memerhatikan kelakuan anak itik di dalam kepungan.
 
Jika suhu terlalu sejuk anak itik akan berkumpul dan akan berhimpit-himpit di satu tempat. Jika terlalu panas anak itik akan berselerakkan serta tercungap-cungap serta kepak yang terbuka. Haba perlu dibekalkan pada waktu pagi dan malam atau waktu hujan.
 
Makanan peringkat pembesar berbentuk pelet mula dicampurkan berperingkat dan seterusnya penggunaan sepenuhnya.
 
Peringkat membesar 5 hingga 13 minggu, pada peringkat ini makanan dan minuman perlulah sentiasa mencukupi kerana itik mula membesar dengan cepat dan pengambilan makanan meningkat.
 
Hapuskan tikus dan burung yang berkeliaran di dalam reban kerana binatang-binatang ini pembawa penyakit dan bakteria.

Permintaan terhadap itik serati amat baik. Tidak ada masalah untuk memasarkannya. Harga pasaran itik hidup di antara RM3.80 hingga RM4.20 dan meningkat kepada RM6.50 pada musim perayaan. Manakala harga itik proses ialah antara RM6 hingga RM9 dan meningkat kepada RM12 pada musim perayaan.

No comments:

Post a Comment