Thursday 21 April 2022

ROSLAN ISMAIL DINOBATKAN TOKOH OKU

  
Roslan Ismail, 49, telah dinobatkan sebagai Tokoh OKU Parlimen Tumpat 2022 sempena Hari OKU Muqarrabun Peringkat Negeri Kelantan 2022. 
 
Penganugerahan dizahirkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita, Kerajaan Negeri Kelantan (UKeKwa). 
 
Roslan yang lebih dikenali Roslan Pulau Seratus, berasal dan menetap di Pulau Seratus, salah sebuah pulau di delta Sungai Kelantan dalam jajahan Tumpat, biarpun dikategorikan sebagai orang kelainaan upaya (OKU), aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan sejak usia belasan tahun melalui aktiviti belia. 
 
Roslan yang mengalami kecacatan bahagian bawah pinggang yang menyebabkan dia tidak boleh berdiri dan berjalan, tidak jemu-jemu untuk menabur bakti kepada komuniti setempat. 
 
Biarpun payah untuk bergerak, Roslan tidak menjadikan ia satu halangan untuknya membantu orang lain. 
 
Sekarang ini banyak NGO dan individu yang menjadikan Roslan sebagai individu penghubung untuk melakukan aktiviti di pulau-pulau delta Sungai Kelantan seperti di Pulau Seratus, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Pantai Suri, Pulau Beluru, Pulau Renjuna, Pulau Timun dan beberapa pulau sekitar. 
 
Roslan boleh dikatakan mengenali majoriti penduduk di kepulauan tersebut yang memudahkan beliau mengetahui status keluarga berkenaan dan bantuan apakah yang diperlukan. 
 
Sebab itu, Roslan selalu dijadikan individu rujukan untuk NGO, jabatan dan orang perseorangan menyalurkan bantuan kepada penduduk pulau. 
 
Dengan hanya merangkak menjalankan ‘amanah’, berulang alik menggunakan bot dari Jeti Pulau Seratus ke Jeti Kok Majid, ataupun ke mana-mana jeti yang terdapat di pulau berkaitan. 
 
Selain menggunakan bot, Roslan atau juga dikenali di kalangan penduduk di kepulauan sebagai Abe Lan akan menggunakan motosikal roda tiga dan ATV untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. 
 
Roslan yang menghidapi polio semasa kecil dan hanya dapat berjalan pada usia lapan tahun berkata, menjadi OKU bukanlah halangan untuk berbakti kepada masyarakat dan boleh buktikan golongan seperti ini juga boleh membantu masyarakat yang normal. 
 
Anak ke lapan daripada sembilan beradik tersebut, gemar berkongsi sebarang maklumat dan disalurkan kepada mereka yang berkaitan untuk mereka bertindak dengan lebih pantas. Biarpun batasan pergerakan kaki, tetapi beliau tetap sedaya sedaya upaya membantu orang kampung. 
 
Atas jasa bakti yang dicurahkan, Roslan telah menerima anugerah dan pengiktirafan oleh pelbagai pihak, selain Tokoh Parlimen Tumpat 2022, beliau telah menerima Anugerah Rakan JobsMalaysia Terbaik (2016, 2017) disampaikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, 
 
Senarai anugerah lain diterima Roslan; 
- Anugerah Tokoh Aktivis Belia Kelantan 2021 
- Anugerah Kelab Nadi Bangsa (1996)
- Anugerah Sukarelawan YOKUK (2000) 
- Dilantik rakan komuniti JPN Negeri Kelantan oleh Ketua Pengarah JPN (2018) 
- Anugerah Belia Kelantan (2019) 
- Menjalani umrah Bersamamu TV3 (2016) 
 
Semoga apa yang dilakukan Roslan ini bukan sahaja dijadikan contoh oleh OKU lain, bahkan lebih-lebih lagi satu cabaran kepada insan lain yang sempurna fizikalnya.
 

No comments:

Post a Comment