Wednesday 13 April 2022

LAPAR MENDORONG PERBUATAN BAIK

  
Pada satu sisi, lapar mendorong perbuatan baik. Pada sisi lain, lapar mematikan keinginan untuk berbuat maksiat dan mengalahkan nafsu amarah. Dalam keadaan kenyang, kita punya kekuatan untuk melakukan kemaksiatan. Makan dan minum adalah tenaga yang menggerakkan dua syahwat yang berbahaya, iaitu syahwat kemaluan dan syahwat bicara. 
 
Pada saat yang sama perut lapar dapat mendorong kita untuk mengurangi tidur dan membiasakan jaga. Kurang tidur sering dipraktikkan orang untuk mempertajam pengalaman rohaniah. Dengan perut lapar, kita mudah bangun tengah malam. 
 
Dahulu, kalau para guru sufi menyajikan makanan untuk para muridnya, mereka berkata, “Jangan berikan ilmu kepada perut-perut yang kenyang, kerana mereka akan mengubahnya menjadi mimpi. Jangan berikan sajadah kepada mereka, kerana mereka akan mengubahnya menjadi alas tidur.” 
 
Jadi lapar secara rohaniah memudahkan menjalankan ibadah. Untuk makan dan mempersiapkan makan kita memerlukan waktu. Waktu adalah anugerah Tuhan yang sangat berharga. Jika  perhatian kita terpusat pada makanan, kita akan menghabiskan waktu untuk mencari tempat makan, menunggu makanan terhidang dan menikmati makanannya. 
 
Perhatikan ketika kita berpuasa. Pada waktu pagi, kita boleh pergi bekerja dengan segera tanpa harus makan pagi lebih dahulu. Pada waktu istirahat tengah hari, kita boleh meneruskan kerja atau membaca Al-Quran, kerana kita tidak keluar untuk makan tengah hari. 
 
Abu Sulayman Ad-Darni berkata, “Dalam keadaan kenyang, dalam diri kita masuk enam penyakit, yaitu hilangnya kelazatan munajat, berkurangnya kemampuan menyimpan hikmat, memudarnya empati pada penderitan rakyat, tubuh akan terasa berat untuk melakukan ibadah, bertambahnya gelora syahwat, dan ketika kaum Mukmin bolak-balik ke masjid, mereka bolak-balik ke tandas. 
 
Imam Ghazali berkata bahawa menahan lapar mengandung banyak manfaat.  Antaranya mudah memperoleh kebersihan hati, menjadi cerdas dan terbuka mata hatinya. Sebaliknya, apabila seseorang itu makan kenyang, Ia akan malas dan cahaya hatinya akan hilang. Otaknya dikuasai sejenis demam yang mempengaruhi hatinya. Fikirannya menjadi lemah. Bahkan jika seorang kanak-kanak biasa makan kenyang, daya ingatnya akan menjadi lemah dan otaknya akan tumpul. 
 
Abu Sulaiman Darani berkata, "Biasakanlah menahan lapar, kerana dengan menahan lapar, nafsumu akan terkendali, hatimu menjadi lembut dan ilmu langit akan didapat.". 
 
Syibli berkata, "Satu hari yang di dalamnya aku menahan lapar semata-mata kerana Allah SWT, maka pada hari itu aku memperoleh satu pintu iktibar dan hikmah terbuka dalam diriku.". 
 
Inilah sebabnya mengapa Luqman Hakim menasihati anaknya, "Wahai anakku, apabila perut seseorang itu penuh, maka fikirannya akan tidur, hikmahnya menjadi bisu, dan anggota-anggota badannya akan malas untuk beribadah. 
 
Abu Yazid Al-Bustami berkata: "Lapar adalah seperti awan. Apabila seseorang itu lapar, maka awan itu akan menurunkan hujan hikmah ke dalam hatinya."

No comments:

Post a Comment