Friday, 21 July 2023

PEMIMPIN PENGARUHI CARA HIDUP RAKYAT

 
Melantik pemimpin adalah perkara penting dalam urusan kehidupan muslim. Ini bertepatan dengan hadis yang bermaksud: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” (Hadis riwayat Ahmad)
 
Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.” 
 
Telah ijmak para ulama tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” 
 
Dengan adanya politik Islam, pemimpin akan lebih cakna akan sumber yang mampu dijana bagi negara tersebut adalah sumber yang baik. Bahkan kaedah yang digunakan juga adalah kaedah yang ditetapkan oleh Syariah Islamiyyah. Menjauhi perkara yang haram apetah lagi rasuah, menjadi pegangan khusus bagi pemimpin yang mengangkat panji dan syiar Islam.
 
Melihat kepada realiti masa kini, Islam merupakan suatu perkara yang janggal dan semakin dipandang kolot oleh majoriti pandangan umum. Sedangkan orang Islamlah yang mula dipandang tinggi kerana kehebatan mereka dalam peradaban(seni), pendidikan(ilmu dan ulama) dan ekonomi(pembangunan negara) ketika era pemerintahan Abasiyyah.
 
Saidina Umar berkata: “Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”
 
Ucapan ini adalah menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.
 
Pernah terjadi, rakyat pada di zaman Umar bin Abdul Aziz begitu kuat taat dan Qiamullail. Ini kerana kesan daripada beliau sendiri yang cintakan Qiamullail. Justeru, sesungguhnya pemimpin benar-benar dapat mempengaruhi rakyat dan mereka begitu gembira melakukan amalan mengikut apa yang dilakukan oleh ketua mereka.
 
Terdapat banyak lagi kepentingan politik Islam kepada sesebuah negara terutama  negara yang bermajoriti agama Islam. Sesunggunya jelas tentang apa itu politik dan agama yang sememangnya tidak boleh dipisahkan. 

No comments:

Post a Comment