Hutan belantara di negara kita kaya dengan
pelbagai keunikan, termasuklah air terjun yang terbentuk oleh aliran sungai di
kawasan berbukit bukau. Salah satu air terjun yang dianggap unik dan cantik
ialah Air Terjun Berdebu, Hulu Dungun, Terengganu.
Mengikut jarak dari Kuala Terengganu, ia
memakan masa sehingga 2 jam 5 minit dengan perjalanan sejauh sekitar 138 kilometer.
Tetapi, jika anda dari persimpangan Bukit Besi, ia hanya memakan masa sekitar 1
jam dengan jarak perjalanan sekitar 62 kilometer.
Air Terjun Berderu dengan ketinggian
kira-kira 100 meter dinamakan ‘berdebu’ kerana air terjun yang mengalir
menjunam dari atas ke bawah dan menghempas permukaan air di bahagian bawah
menghasilkan percikan air seperti debu.
Dari jauh juga kelihatan percikan air halus
seperti debu berterbangan dan bersinar apabila disulami pancaran cahaya matahari.
Sesiapa yang menjejakkan kaki ke Air Terjun
Berdebu, pasti terpukau dengan keindahan air terjun berkenaan dan tenang dek
bunyi air sungai mengalir ditambah kehijauan hutan yang belum terusik.
Di bawah air terjun terdapat kolam yang
luas dan berombak. Ia tidak sesuai untuk mandi.
Permukaan batu di situ juga berlumut dan
licin sehingga menyukarkan untuk turun ke bawah.
Selain berkhemah, antara aktiviti yang
boleh dilakukan di situ adalah menangkap ikan.
Terdapat juga kawasan yang sesuai untuk
berenang dan pastinya air jernih bak kristal dan sejuk, memberi kesegaran
sesiapa saja yang 'berendam' di dalamnya.
Air Terjun Berdebu terletak di Chemerong,
Hulu Dungun memang agak terpencil kerana laluan utama merupakan laluan lori
balak. Tempat ini memang tidak popular kerana masih baharu. Pun begitu, di
kalangan joran dan penduduk tempatan, ia sudah lama dikenali. Dan kini, ia mula
menjadi pilihan kepada peminat hiking (kembara berjalan kaki)
Perjalanan mengambil masa 2 jam menaiki
kenderaan pacuan 4 roda melalui jalan berbatu, meredah sungai serta jalan balak
untuk ke tempat berkhemah dan mengambil masa 5 jam berjalan kaki ke lokasi air
terjun. Ada laluan yang telah dibuat untuk ke sana. Mahu ke sini perlu kekuatan mental dan
fizikal.
Terdapat tiga atau empat kawasan
perkhemahan yang dibina untuk kemudahan bermalam.Jalan trekking dari kem yang pertama menuju
ke kawasan air terjun dalam tujuh kilometer.
Lebih kurang tiga jam merangkumi perjalanan
merentas sungai, mendaki batuan dan menyelusuri hutan yang tebal serta dipenuhi
pacat serta permukaan licin berlumut.
Kalau melalui curam berbukit, ia bukan
mudah mendaki, manakala melalui sungai deras, bukan senang untuk direntasi.
Keadaan hujan sekali sekala membuat air
sungai tidak begitu jernih. Arus sungai agak deras dan banyak laluan air bukit
turun. Perjalanan ke sana agak mencabar dan sesetengah kawasan laluan merupakan
laluan gajah.
No comments:
Post a Comment