
Hak orang bukan Islam. Dulu di negara kita ada fahaman atau
pegangan golongan yang mengatakan haram berkerjasama dengan orang kafir yang
jika dilakukan akan menyebabkan seseorang yang melakukan atau menyokong
kerjasama itu turut menjadi kafir.
Perkara yang ditekankan oleh golongan
itu ialah parti orang Islam tidak boleh bergabung dengan mana-mana parti
politik orang kafir. Begitu juga, haram memilih calon pemimpin terdiri orang
kafir sebagai wakil rakyat. Pendek katanya, semuanya tidak boleh.
Manakala terdapat kumpulan ekstrem
pula berpegang kepada fahaman bahawa orang kafir wajib diperangi. Jadi, halal
membunuh orang bukan Islam di negara kita. Harta orang bukan boleh dirampas dan
dijadikan harta rampasan seperti rampasan perang yang berlaku pada zaman
Rasulullah.
Malah, mereka berpendapat tempat
ibadat orang kafir mesti dihapuskan sama sekali. Kilang arak pula mesti
dirobohkan. Di negara Islam mesti hanya ada masjid dan orang kafir yang ‘takut’
kepada orang Islam.
Itulah antara fahaman salah yang
pernah dijadikan kepercayaan golongan tertentu di negara kita terhadap orang
kafir, tetapi, sekarang ini sudah banyak berubah.
Jika diteliti punca fahaman itu,
rasanya bukan kerana jahil atau tidak tahu hukum agama. Sebalik ia lebih kepada
satu alat yang digunakan untuk mendapat mempengaruhi orang jahil untuk mendapat
kuasa.
Kita kena faham kedudukan orang kafir
atau bukan Islam dalam sebuah negara Islam. Ini penting difahami rakyat di
negara kita yang mempunyai rakyat berbilang agama.
Jangan disebabkan kejahilan kita hidup
dalam perpecahan, saling mencurigai dan dendam sehingga berlaku permusuhan kaum
di negara kita.
Mengikut peraturan agama, orang bukan
Islam yang tinggal di dalam negara Islam dan mengaku patuh kepada pemerintah
negara Islam dipanggil kafir zimmi.
Kewujudan kafir zimmi berlaku sejak
zaman Rasulullah memerintah di Madinah lagi. Jadi, ia bukan perkara baru dan
telah ada panduan amalan yang boleh dijadikan ikutan dalam menguruskan perkara
itu.
Jadi, mana-mana pihak yang buat tidak
faham mengenainya sebenarnya sengaja tidak mahu mematuhi apa yang telah
ditetapkan dalam ajaran Islam.
Kafir zimmi mendapat hak dan keistimewaan
sebagai rakyat sepertimana dinikmati orang Islam. Perbezaan mereka dengan
rakyat beragama Islam hanyalah dalam soal akidah. Sedangkan dalam hal berkaitan
hak sebagai warganegara adalah tidak ada bezanya dengan warganegara beragama
Islam.
Inilah keadilan dalam Islam yang
mementingkan kehidupan selamat dan sejahtera kepada seluruh manusia. Soal
akidah adalah antara individu yang berkenaan dengan Allah.
Soal
hubungan sesama manusia, adalah urusan sesama manusia yang telah ditetapkan
bentuk hubungan yang perlu dipatuhi bagi memastikan hubungan berjalan dengan
lancar tanpa menimbulkan ketegangan.
Sesungguhnya, Islam tidak menindas
mana-mana penganut agama lain biarkan ketika berkuasa dan kuat. Keamanan yang
terkandung dalam ajaran Islam adalah milik manusia sejagat sepertimana yang
ditetapkan dan perakuan Islam terhadap orang kafir.
mugo2 negara akan tatap aman damai sejahtera sentosa senantiasa., aminn
ReplyDelete