Tuesday 29 October 2019

UNTUNG PELIHARA KUCING

Masyarakat kini terlalu banyak yang meminati kucing dan memilihnya sebagai haiwan peliharaan. Kecomelan dan sifat manja kucing membuatkan mereka terhibur untuk menjadikannya kawan, peneman atau membantu menghilangkan tekanan di rumah.

Baka kucing yang menjadi pilihan sudah tentu yang berbulu lebat, cantik dan mempunyai keunikan tersendiri. Kebanyakan baka yang menjadi pilihan ialah dari luar negara.

Seekor kucing dari luar negara pasti berharga mahal.

Ini sebenarnya membuka peluang kepada pengemar kucing bukan sahaja memelihara kucing untuk 'kegunaan' sendiri, tetapi juga untuk dijual.

Ia pasti memberi kepuasan dan pada masa sama mendatangkan pendapatan, sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan hobi memelihara kucing.

Dapatkan pengetahuan mengenai memelihara kucing dan kemudian biakkan.

Tidak sukar untuk menjual kucing melalui rakan-rakan, media sosial dan juga di kedai menjual kucing.

Jadikan hobi yang menguntungkan.  

Saturday 26 October 2019

TERUS BERUSAHA BIARPUN ADA HALANGAN

Dalam usaha mencapai sesuatu diingini, pasti ada banyak cabaran dan halangan. Bukan mudah untuk berjaya, tetapi kejayaan sentiasa ada untuk orang tidak mudah berputus asa.

Namun, tidak dinafikan kadang-kadang kita akan rasa kecewa apa tidak mencapai apa diingini. Apa yang penting, jangan mudah mengalah.

Jika “down”, carilah kata-kata semangat dari orang-orang yang positif. Kongsi pengalaman mereka yang membawa kejayaan.

Sebaliknya, yang mengutuk dan merendahkan kita usaha kita, jadikan itu pembakar semangat untuk mencabar diri supaya menjadi lebih baik.

Jangan mudah mengalah. Kegagalan bukan berkaitan ketidakmampuan kita mencapai kejayaan.

Namun, kegagalan sebenar ialah apabila kita tidak bangkit untuk menebus kembali kesilapan yang membawa kepada tidak berjaya itu.

Semarakkan jiwa seperti api yang terhalang oleh kuali, yang penting hasilnya apa yang ada di dalam kuali itu menjadi masak.

Monday 21 October 2019

ENAM CARA MENGHADAPI BERITA FITNAH


Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Maksudnya, kerana sikap tergesa-gesa membuat keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Selain itu, ada beberapa panduan menghadapi berita fitnah. Abu Laith al-Samarqandiy berkata, “Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara.

Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah daripada fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib.

Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab buruk sangka terhadap sesama Muslim hukumnya haram.

Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang dan yang keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah yang disebarkan itu.”

Justeru, kita seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Kita harus menjaga perpaduan sesama umat Islam dan bangsa lain.

Perbuatan memfitnah jelas dilarang oleh syariat Islam. Maka kita hendaklah berusaha menghindari berbuat fitnah. Fitnah jika dibiarkan akan terus melekat di hati seseorang.

Friday 18 October 2019

KESALAHAN BUANG SAMPAH DI LUAR TONG


Sampah diletakkan di luar tong sampah kerap berlaku. Kalau diletakkan sampah di luar tong sampah ketika tong sampah penuh, itu memang patut atau boleh dimaafkan, walaupun undang-undang tidak membenarkan perkara itu dilakukan.

Sebenarnya tetap menjadi satu kesalahan meletakkan sampah di luar tong sampah apabila tong sampah penuh. Jadi, sampah itu perlu diletakkan di dalam sampah lain yang ada berdekatan.

Jika meletakkan sampah di luar tong sampah ketika sampah penuh tetap dianggap satu kesalahan, tentu sekali membuang sampah di luar tong sampah ketika sampah telah penuh di dalam tong sampah lebih lagi menjadi satu kesalahan.

Di kawasan jagaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, sampah boleh diletakkan di luar tong sampah yang penuh hanya pada waktu malam.

Tetap menjadi satu kesalahan membuang sampah di luar tong sampah walaupun pada waktu malam jika tong sampah itu masih kosong.

Jadi, amat mendukacitakan tindakan individu yang meletakkan sampah di luar tong sampah pada waktu siang. Apa susah sangat untuk meletakkan sampah di dalam tong sampah yang sudah ada di hadapan mata.

Kita memang mengajar rakyat berfikir di luar kotak fikiran, tetapi bukannya berfikir di luar tong sampah. Tong sampah disediakan untuk diisikan sampah, bukannya menjadi tanda tempat buang sampah di tepinya.