Wednesday 30 May 2018

SUNGAI LUBUK DURIAN LOKASI MELIHAT KELIP-KELIP

Nama Kampung Pulau terkenal sebagai lokasi untuk melihat fenomina kelip-kelip atau kunang-kunang pada waktu malam. Kampung Pulau terletak dalam kawasan Kubang Kerian. Jaraknya hanya kira-kira 8 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Kampung Pulau terbahagi kepada 3 kawasan iaitu Kampung Pulau Hilir, Kampung Pulau Raja dan Kampung Pulau Tengah.

Secara gambaran am, Kampung Pulau berada di kawasan belakang Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian menganjur sehingga ke Sungai Pengkalan Datu.

Kampung Pulau Tengah dipisahkan oleh sebatang sungai dengan Kampung Pulau Hilir yang dikenali Sungai Lubuk Durian. Di Sungai Lubuk Durian inilah lokasi habitat kelip-kelip atau kunang-kunang.

Lokasi kelip-kelip ini menjadi tarikan pengunjung pada waktu malam untuk menikmati panorama pesta cahaya yang amat menarik. Ia menjadi lokasi menarik pelancong dari Kampung Pulau amat istimewa kerana mempunyai khazanah kelip-kelip yang hanya ada di beberapa lokasi sahaja di negara kita.

Antara lokasi lain habitat kelip-kelip ialah Kota Tinggi, Johor; Cheranting, Pahang dan Kampung Kuantan, Selangor.

Pokok berembang jadi pilihan kelip-kelip

Buah berembang atau ada juga yang memanggilnya buah gedabus dan buah perepat. Pokok berembang selalunya tumbuh di tepi pantai dan tepi sungai. Buah berembang berbentuk bulat yang agak leper dan kulitnya licin.  

Buah berembang rasanya masam. Buah berembang muda boleh dibuat sayur atau dimakan sebagai colek dicicah dengan garam atau kicap bercampur cili api dan sedikit gula. 

Buah berembang muda juga boleh dibuat sambal dan dimakan bersama nasi. Buah berembang muda berasa lemak-lemak masam dan ada mengatakan rasanya seperti keju.

Pucuk muda berembang dimakan mentah atau dicelur dan boleh dicecah bersama sambal belacan, budu, cencaluk atau pencecah yang lain.

Pokok berembang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kini dijadikan produk pelancongan yang "ajaib" di Malaysia iaitu terdapat banyak kunang-kunang atau kelip-kelip datang pada malam hari untuk menghisap manisan bunga pokok berembang.

Sebab itu, pokok berembang di kawasan tumpuan kelip-kelip akan dijaga dan diurus dengan baik. Pokok berembang ditanam untuk menambah bilangannya bagi menjadi habitat kunang-kunang.

KELIP-KELIP SEJENIS SERANGGA BERCAHAYA

 
Kelip-kelip atau dikenali sebagai kunang-kunang ialah sejenis serangga bersayap kategori kumbang yang dikenali sebagai Coleopetra.  
 
Kunang-kunang mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip pada waktu malam berwarna kuning, hujau atau merah muda di bawah abdomen yang tidak bersuhu dengan panjang gelombang 510 – 670 nanometer. 
 
Kelip-kelip yang berterebangan di bahagian pokok akan menjadikan pokok itu seperti pokok krismas yang dipenuhi dengan lampu kelip-kelip.
 
Tempoh jangka hayat kelip-kelip dewasa sangat singkat iaitu antara satu hingga dua minggu. Hidup mereka lebih pada melakukan pembiakan bagi kelangsungan populasi.
 
Cahaya yang keluar daripada kelip-kelip sebenarnya bertindak sebagai penunjuk-bio (bioindicator). Ia dikeluarkan oleh serangga jantan sebagai menarik perhatian sang betina.  
 
Sebagai tanda persetujuan terhadap ajakan sang jantan, kelip- kelip betina menyambutnya dengan mengelipkan cahaya juga. 
 
Kelip-kelip hidup di habitat yang mempunyai banyak pokok berembang. Pokok berembang atau gelaran saintifiknya, Sonneratia Caseolaris merupakan tanaman bakau yang tumbuh liar di tebing sungai.
 
Daun berembang yang jatuh ke sungai akan menjadi makanan siput. Manakala kelip-kelip pula akan menjadikan daun yang dimakan oleh siput itu tempat untuk bertelur.
 
Pada masa yang sama, kelip-kelip itu juga menjadikan pokok berembang sebagai tempat untuk membiak dan penting sebagai habitat.
 
Jadi, untuk mengekalkan habitat semulajadi kelip-kelip, usaha menanam atau menambah bilangan pokok berembang dilakukan pihak berkuasa, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.
 
Namun, bukan semua tempat ada pokok berembang, maka ada kunang-kunang.
 
Di negara kita hanya beberapa tempat sahaja yang dikenali sebagai lokasi habitat kunang-kunang dalam jumlah yang banyak.  
 
Antara lokasi tersebut ialah Kampung Pulau, Kubang Kerian, Kelantan; Kota Tinggi, Johor; Cheranting, Kuantan dan Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

SUNGAI LUBUK DURIAN LOKASI LIHAT KELIP-KELIP

Di Kota Bharu ada tempat kelip-klip? Itulah kata-kata terkejut seorang kawan apabila diberi tahu di Kota Bharu (dalam daerah atau jajahan) ada lokasi melihat klip-klip yang telah terkenal di kalangan pelancong asing.

Lebih tepat, lokasi yang dimaksudkan ialah Taman Kelip-Kelip, Kampung Pulau yang terletak di Kubang Kerian. Jaraknya kira-kira 8 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Pengunjung akan dibawa menyusuri Sungai Lubok Durian sambil melihat keindahan cahaya kelip-kelip atau dikenali juga kunang-kunang pada pokok berembang sepanjang laluan sungai. Waktu terbaik melihat panorama indah cahaya kelip-kelip adalah sekitar pukul 8 hingga 11 malam.

Jutaan kelip-kelip menjadikan pokok berembang yang tumbuh di tepi pulau itu sebagai habitat mereka dilihat umpama pohon bercahaya yang berkelipan sepanjang malam.

Ternyata ia boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti waktu malam yang cukup indah dengan ditemani cahaya bulan dan kelipan cahaya kelip-kelip yang menggamit suasana malam.

Dikatakan hanya terdapat beberapa tempat di dunia ini yang mempunyai keajaiban misteri kelip-kelip dan kewujudannya yang terletak dipinggir bandar utama negeri Kelantan ini telah menambah satu lagi lokasi menarik yang harus dikunjungi.

Terdapat pengusaha menyediakan kemudahan bot untuk pengunjung menyusuri Sungai Lubok Durian untuk melihat aksi kelip-kelip. Daripada bot yang disediakan, pengunjung berpeluang melihat keajaiban kelip-kelip secara dekat di mana kelip-kelip akan berkeliaran dan berkelipan sepanjang malam.

Pada waktu hujan dan bulan terang, pengunjung tidak akan dapat menikmati cahaya kelip-kelip kerana pada waktu tersebut, haiwan tersebut tidak mengeluarkan cahaya. Waktu yang terbaik untuk melihat kelip-kelip adalah pada musim kemarau iaitu bermula Februari hingga Oktober.

MASJID SULTAN ISMAIL PETRA KUBANG KERIAN

Masjid Sultan Ismail Petra atau dikenali juga sebagai Masjid Biru Kubang Kerian merupakan mercu tanda bandar Kubang Kerian. Terletak di Jalan Sultan Yahya Petra yang menjadi laluan utama Kota Bharu - Pasir Putih menjadikan ia menjadi perhatian umum.

Pembinaannya bermula pada tahun 1986 dibiayai oleh seorang individu yang bernama Tan Sri Ibrahim bin Mohamad dari Kampung Putih Telipot. Bagaimanapun, proses pembinaan masjid ini tergendala oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. 

Pada tahun 1988 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) telah menyambung pembinaannya dengan perbelanjaan daripada MAIK dan sumbangan orang ramai yang berjumlah RM15 juta.

Reka bentuk masjid ini berkonsepkan seni bina Timur Tengah. Ianya mempunyai empat menara berkubah dan dua kubah besar. 
 
Di dalam masjid ini terdapat ruang solat utama yang mampu menampung 3000 orang jemaah. Terdapat juga ruang solat tambahan yang mampu menampung kapasiti 2000  jemaah.  

Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian telah disempurnakan pembukaannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim pada 8 Safar 1413 Hijrah bersamaan 7 Ogos 1992 Masihi.

Masjid Sultan ismail Petra Kubang Kerian menjadi lokasi untuk program keagamaan peringkat negeri Kelantan, selain di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

SEJARAH ASAL NAMA KUBANG KERIAN

Sejarah daerah (mukim) Kubang Kerian asalnya bernama daerah Lundang. Pada awal dekad 1970an, daerah Lundang telah dipinda batas sempadan pentadbirannya dan diubah nama menjadi daerah Kubang Kerian oleh pihak berkuasa disebabkan keperluan kehendak semasa pentadbiran.

Kubang Kerian adalah subbandar kepada Kota Bharu. Pembangunan kawasan Kubang Kerian sebagai menampung perkembangan Kota Bharu. 
 
Sebelum itu, subbandar bagi Kota Bharu ialah Lundang. Di kawasan Lundang terdapat kawasan perindustrian terawal di Kelantan.

Daerah Kubang Kerian sekarang merupakan sebuah bandar baharu dan terkenal di Kelantan terutama kerana wujudnya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang menjadi sebahagian kampus cawangan Universiti Sains Malaysia (USM). 

Kubang Kerian juga terkenal kerana terletaknya Istana Negeri Kubang Kerian iaitu istana rasmi Sultan Kelantan.

Sebelum itu Kubang Kerian dianggap terpencil di pinggir Kota Bharu. Terdapat banyak lopak dan kubang yang menjadi tempat kerbau berkubang di kawasan itu. 

Dipercayai nama Kubang Kerian diambil dari fenomina di kawasan itu yang terdapat banyak kubang atau kubang besar tempat kerbau berkubang dan adanya pokok krian di situ.

Kubang Kerian terletak kira-kira 10-15 minit perjalanan dari Kota Bharu dan kira-kira 15-20 minit dari lapangan terbang Sultan Ismail Petra. 
 
Salah satu mercu tanda di Kubang Kerian ialah Masjid Sultan Ismail Petra atau dikenali sebagai Masjid Biru Kubang Kerian.

Friday 25 May 2018

TUGAS DAKWAH TERLETAK DI BAHU SETIAP MUSLIM

Gelaran pendakwah biasanya merujuk kepada penceramah agama, imam, ustaz dan mereka yang menyampaikan seruan berbentuk keagamaan. Manakala golongan didakwah pula terdiri mereka yang jahil agama serta melakukan maksiat yang menjurus kepada hal-hal berkaitan dengan agama. 

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam menjelaskan kekeliruan itu mengatakan pandangan seperti ini tidak mempunyai asas dan ia hanya menonjolkan satu aspek saja dari keseluruhan kandungan risalah Islamiah yang luas. 

Fokus tugas dakwah cuba disempitkan dengan meletakan tanggungjawab penting itu hanya di bahu individu tertentu saja.

Hal ini menyemai anggapan penganut agama lain yang cuba memisahkan kehidupan seharian dengan agama, lalu urusan berkaitan berdakwah dijadikan tugas hakiki kepada mubaligh dan mereka yang mempunyai jawatan dalam carta organisasi agama.     

Sedangkan tugas berdakwah sebenarnya mempunyai pengertian yang luas sesuai dengan sifat risalah Islamiah itu sendiri yang tidak hanya membataskan urusan agama di tempat-tempat ibadat saja.

 Ajaran Islam yang sempurna mencangkupi bidang yang luas bermula dari akidah, ibadat, hinggalah kepada pemerintahan, perundangan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan, kesenian, kewangan dan sebagainya.

Ini bermakna seluruh bidang kehidupan manusia merangkumi risalah Islamiah yang perlu dilaksanakan dalam rangka memakmurkan alam ini seperti mana yang diperintahkan oleh Allah. 

Islam adalah cara hidup yang teratur, lengkap dan melengkapkan, murni, benar dan memenuhi tuntutan kehidupan sebenar manusia di dunia dan akhirat. 

Sesiapa yang melakukan perintah Allah dalam kehidupan sehariannya, maka dia sebenarnya melakukan tugas dakwah yang turut memberi kesan kepada orang lain.

Dalam realiti kehidupan umat Islam, mereka perlu menjalankan kegiatan hidup dalam berbagai-bagai bidang kehidupan bagi memenuhi keseluruhan tuntutan risalah Islamiah.

Dalam kehidupan umat Islam memerlukan adanya pemerintah, doktor, hakim, peniaga, petani, pendidik dan sebagainya mengikut kemahiran masing-masing.