Saturday 24 February 2018

UTAMA PERPADUAN ELAK PERPECAHAN

Perpaduan merupakan strategi paling ampuh untuk mencapai kejayaan dalam apa jua perkara yang dilakukan. Dalam sebuah negara, perpaduan di kalangan rakyat menjadi penentu kepada kejayaan sesuatu dasar yang dirancangkan.

Sesungguhnya nikmat perpaduan jangan dipersia-siakan kerana tanpanya kehidupan ini akan dipenuhi dengan kegawatan fizikal dan rohani. Tenaga dan masa harus ditumpukan kepada usaha membina kejayaan hidup, dan bukannya mencipta bibit-bibit perpecahan. 

Mereka yang sukakan pertentangan sesama sendiri dan menolak ikatan persaudaraan, sebenarnya mencampakkan diri sendiri dalam kebinasaan.  Kehidupan diumpamakan berada di tepi jurang api neraka yang pasti terasa panasnya.  Kehidupan hanya akan kembali selamat jika kembali berpegang kepada ajaran agama.

Al-Quran dan sunnah adalah panduan hidup seluruh umat Islam yang paling mujarab mengubati penyakit hati manusia.  Kehidupan yang dipimpin dengan nur keimanan dan ketakwaan pastinya akan selamat selama-lamanya dalam redaan Allah. 

Firman Allah bermaksud: “Pada hari ini Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3).

Nikmat perpaduan sering dilupai apabila keadaan kehidupan yang semakin baik.  Sepatutnya kita semakin memperkukuhkan perpaduan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dalam keadaan hidup yang telah baik itu. 

Ajaran Islam menyuruh kita sentiasa memperbaiki hidup agar semakin baik daripada sebelumnya. Mereka yang kembali kepada keadaan lebih buruk daripada sebelumnya dianggap sebagai mendustai nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.

Sikap mudah lupa dan alpa menjadi barah dalam diri manusia yang sering membawa kepada kemusnahan. Keadaan ini perlu dijauhi sebelum ia menjadi satu budaya dalam masyarakat.

Sesungguhnya kita ada sejarah dan pengalaman untuk dijadikan pengajaran. Mengapa masih bermain api kelak nanti terbakar diri dan musnah seluruh kehidupan.

Kalau kita mengaku berpegang kepada Islam, utamakan perpaduan dan bersatu. Itu perintah jelas dari Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sesungguhnya perpaduan adalah satu nikmat yang dibawa oleh ajaran Islam.

Firman Allah bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali (agama) Allah, jangan kamu berpecah belah.  Ingatlah akan kurniaan Allah kepadamu ketika kamu sedang bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga kamu menjadi satu saudara dengan kurnia-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103).