Sunday 17 December 2017

PERANAN KUASA MEDIA SOSIAL PILIH KERAJAAN


Media baharu dan media sosial menguasai dan mampu memainkan peranan ke arah pembentukan sesebuah kerajaan. Peranan dan kuasa media baharu bakal penentu pilihan pengundi.

Kuasanya terletak pada tangan dan jari orang muda yang kebanyakan menguasai media baharu dan media sosial.

Statistik menunjukkan 82 peratus pengundi menggunakan media sosial malah 90 peratus pengundi muda aktif dalam medium tersebut.

Pihak berjaya menguasai media sosial bakal memperoleh untung besar dalam menentukan pola pemikiran politik semasa. Dalam aspek propaganda dan gerak saraf perang saraf (GSPS), ketepatan fakta tidak penting.

Ini bukan bermakna mengajar melakukan perkara tidak betul dalam meraih undi. Namun, dalam kempen politik, tidak banyak perkara boleh dijangka.

Apa sahaja yang dapat memberi keuntungan politik digunakan semaksima.

Hakikatnya, kita mengharapkan pemain politik lebih bertanggungjawab dalam menguasai pentas politik terutama di media sosial yang kesannya turut melibatkan semua pihak.

Kita berasa sedih apabila golongan muda dilatih menjadi pejuang siber secara salah. Mereka menyerang secara melakukan fitnah dan tidak mementingkan fakta.

Nilai pekerti tidak lagi diutamakan. Tindakan mereka di laman sosial seperti tidak berasa bersalah langsung biarpun perbuatan itu boleh mendatangkan malapetaka besar kepada negara.

Pejuang siber perlu mementingkan persepsi tepat dan betul dengan akal bijaksana dapat menguasai apa yang ingin ditulis dan disampaikan kepada masyarakat.

Sebagai generasi muda mestilah menghantar mesej yang baik dan tepat tentang pembangunan masa depan, terutama perkara berkaitan agama, bangsa dan negara.

Jangan sekali-kali gadaikan negara dengan tulisan atau mesej yang boleh menghancurkan kehidupan kita selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment