Sunday 17 December 2017

KETEPATAN FAKTA DI MEDIA SOSIAL DIUTAMAKAN


Pemahaman tentang sejarah pembentukan negara dan kandungan Perlembagaan Persekutuan amat penting. Jangan ubah apa yang telah dipersetujui bersama semasa kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada 1963 yang melibatkan Sabah dan Sarawak.

Sehebat mana sekalipun kuasa media baharu dan media sosial ia mestilah dipandu dengan pemikiran yang berwawasan, pandangan bijaksana, idea bernas dan berilmu bagi membangunkan negara.

Pandangan negatif, bercampur fitnah, tidak logik dan penuh dendam seharusnya diketepikan bagi mengelakkan prasangka buruk yang boleh mempengaruhi masyarakat.

Pengendali media baharu dan media sosial serta blog mesti bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang mesti betul tepat dan berilmu.

Jika ditinjau kebanyakan bahan yang disampaikan dalam media baharu dan media sosial masih boleh dipertikaikan kesahihannya. Ada unsur fitnah, bidaah, prasangka, tohmah, tuduhan tanpa bukti.

Lantaran itu, unsur ilmu dan kebenaran yang dapat dibuktikan memang kurang dalam penyampaian maklumat.

Hal inilah kadang-kadang menjadikan orang mudah percaya sedangkan maklumat palsu yang diputar-belit dan disampaikan berkali-kali sehingga orang ramai pun yakin dan percaya.

Keyakinan dan kepercayaan ini memang banyak mempengaruhi rakyat apabila mereka secara berterusan disogokkan dengan berita yang sama.

Perkara fitnah dianggap benar, sedangkan kebenaran pula dianggap dusta. Rakyat dikelirukan dengan fakta yang direka-reka dan diyakinkan dengan sendikit kebenaran yang sebenarnya tiada kaitan dengan perkara pokok yang disebarkan.  

Oleh itu, sebagai pengendali media baharu dan media sosial jangan hanya menyampaikkan sesuatu berita bersandarkan persepsi dan tidak mempunyai bukti kukuh.

Kesannya amat bahaya kerana ia boleh meruntuhkan sebuah negara, meruntuhkan tamadun bangsa dan merosakkan nilai baik yang telah kita bangunkan sejak puluhan tahun dalam sebuah negara yang merdeka, aman dan sejahtera.

Banyak kuasa besar runtuh disebabkan fitnah berleluasa. Rakyat jadi keliru dan pihak musuh ambil kesempatan merampas kuasa. Ambil pengajaran itu agar tidak berlaku kepada negara kita.

Perkara terpenting ialah pengendali media baharu dan media sosial mesti berilmu, beriman dan bijaksana menyampaikan berita dan maklumat.

Jika berita yang tidak sahih disampaikan ia akhirnya akan beri kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara dalam jangka masa yang lama.

No comments:

Post a Comment