Sunday 26 November 2017

PENTING CARI PEMIMPIN KUAT

Mencari pemimpin kuat. Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan melicinkan parti untuk bergerak ke hadapan dengan lebih baik di samping mampu menambat keyakinan pengundi.

Pemimpin yang kuat ialah mereka yang mendapat sokongan akar umbi. Maknanya mereka mendapat sokongan dalam apa juga keadaan.

Sememangnya sokongan akar umbi adalah penting kerana ia menjadi tunjang kekuatan bagi seseorang pemimpin itu. Tetapi untuk mendapat sokongan akar umbi bukanlah mudah.

Pemimpin itu perlu benar-benar berjiwa rakyat dan sentiasa mementingkan suara akar umbi, biarpun apa juga jawatan yang disandangnya.

Apabila berada pada kedudukan yang tinggi dalam parti, seseorang pemimpin itu sudah merasakan dia sudah kuat sehingga suara-suara akar umbi tidak dipedulikan. Lebih malang, langkah atau tindakan yang dilakukan lebih banyak didorong oleh nasihat atau cadangan orang sekeliling dan bukannya mendengar apa kata rakyat.

Kesudahannya rakyat atau ahli parti menjadi bosan dan mereka menghukum pemimpin itu dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya dan apabila itu berlaku barulah, kita hendak bercakap soal mendengar suara akar umbi.

Ahli-ahli akar umbi ini harus dibenarkan untuk meluahkan apa sahaja perasaan demi kebaikan parti kerana mereka juga turut berasa malu dengan apa yang terjadi.

Sindrom tidak boleh bercakap atau tidak dibenarkan bercakap harus dihapuskan. Dalam usaha mewujudkan kepimpinan yang kuat memerlukan ketelusan yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan retorik. Melalui pendekatan bersikap terbuka untuk mendengar luahan di peringkat akar umbi, ia sudah pasti akan membantu memperbaiki kelemahan.  

Pemimpin-pemimpin tidak harus cuba menyembunyikan fakta. Kalau kepimpinan yang kuat itu hendak diwujudkan, tindakan mendengar keluhan rakyat di peringkat bawah adalah penting.

Negara perlu berusaha untuk mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat ketika sedang berhadapan dengan cabaran yang getir. Jika negara terus memiliki barisan kepimpinan yang lemah dan dilihat tidak mempunyai cengkaman bagi mengawal apa juga situasi termasuklah tuntutan-tuntutan melampau kaum-kaum lain, ia boleh meletakkan orang Melayu dalam keadaan bahaya.

Kalau parti-parti komponen lain sudah menyatakan dengan tegas bahawa mereka akan memperjuangkan nasib kaum yang mereka wakili, kenapa UMNO perlu berselindung lagi.

UMNO harus berani dan pemimpin harus kuat untuk berhadapan dengan situasi itu. Jangan sampai dilihat terus lemah sehingga ia memberi kesempatan kepada orang lain untuk memijak Melayu.  

Pemimpin yang dipilih perlu berdasarkan kepada rekod perkhidmatan dan pengalaman. Jika pemimpin dipilih menggunakan laluan ekspres ia bermakna pemimpin itu tidaklah sekuat mana. Pemimpin yang bakal dipilih biarlah pemimpin yang menggunakan 'tiket henti-henti', maknanya bermula dari bawah dan sudah benar-benar sebati dengan hati nurani rakyat di peringkat bawah.

Begitu juga jika memilih pemimpin yang dilihat proksi kepada mana-mana pemimpin. Ini juga boleh membawa kehancuran kepada negara. Apa yang penting kena pilih pemimpin yang memahami sentimen rakyat.

Mereka tidak harus menganggap seseorang pemimpin itu kuat hanya semata-mata kerana dia mempunyai hubungan atau berada dalam satu kem dengan pemimpin tertentu.

Monday 20 November 2017

SYAITAN GODA NABI MUSA


Syaitan akan mengganggu dan menggoda sesiapa sahaja.  Diriwayatkan Nabi Musa pernah didatangi syaitan dan berlakulah dialog berikut.

Syaitan berkata: “Wahai Musa, engkaulah yang dipilih Allah untuk membawa risalah-Nya dan engkaulah yang sentiasa berkata benar.  Aku salah satu makhluk berdosa dan ingin bertaubat.  Mohonkanlah kepada Tuhan agar diberikan taubat kepadaku.”

Lantas Nabi Musa memohon kepada Allah dan diperkenankan, lalu baginda menemui syaitan.  Kata Nabi Musa: “Hai syaitan, engkau diperintahkan sujud hormat kepada kubur Nabi Adam dan selepas itu, barulah taubatmu diterima Tuhan.”

Mendengar nama Nabi Adam, syaitan menjadi naik marah.  Lalu syaitan berkata: “Sewaktu Adam masih hidup, aku tidak sujud, inikan pula sudah dia mati.  Hai Musa, sesungguhnya engkau berhak menerima balasan daripada aku kerana engkau sudah memohon syafaat kepada Allah buat pengampunanku.  Namun, ingatlah wahai Musa mengenai tiga perkara nescaya aku tidak membuat kebinasaan ke atasmu.

Lantas Nabi Musa bertanya: “Apakah tiga perkara itu.”

Lalu syaitan menjelaskan: “Pertama, ingatlah ketika kau sedang marah, aku akan membawa bisikan ke dalam hatimu.  Mataku akan berada dalam matamu dan aku berjalan dalam tubuhmu menurut perjalanan darah.”

Tambah syaitan lagi: “Ketika kau bertempur di medan perang menghadapi musuh, aku akan datang mengingatkanmu kepada anak, isteri dan keluarga agar berundur secara teratur.”

Untuk yang ketiganya, syaitan berkata: “Berhati-hatilah duduk dengan perempuan yang bukan muhrim kerana aku akan menjadi penghubung antara kau dan perempuan itu dan antara perempuan itu dengan engkau.”

Untuk menghindari daripada terkena hembusan tipu daya syaitan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Bacalah surah al-Falak dan surah an-Nas tiga kali apabila kamu berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila kamu berada pada waku petang supaya kamu terpelihara dan terselamat daripada segala bahaya bencana.” (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Nasai).