Saturday 23 December 2017

Beli kereta BMW guna wang siling 5 sen

Menabung amalan baik. Jika bercadang membeli sesuatu, mulalah menabung. Biar sedikit, lama-lama jadi bukit. Inilah usaha dilakukan seorang lelaki di China yang membeli sebuah kereta BMW hasil menabung.

Dia membuat bayaran wang pendahuluan berjumlah AS$10,704 (RM43,784) dengan menggunakan duit syiling 5 mao (5 sen).

Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu membeli kereta tersebut yang bernilai AS$60,176 (RM245,766) pada bulan lalu di sebuah pusat pengedar kereta di Putian, wilayah Fujian.

Pihak ajen jualan kereta pergi ke rumah pelanggan itu membawa pulang 10 kotak yang dipenuhi dengan duit syiling.

Beberapa kakitangan terpaksa dikerahkan mengira semua wang tersebut yang mengambil masa selama tujuh jam.

Pekerja terpaksa duduk di atas lantai untuk mengira duit syiling berkenaan.

Kesemua duit syiling 5 mao itu dipercayai disimpan sejak beberapa tahun lalu.

Tuesday 19 December 2017

MALAYSIA PEJUANG KEPENTINGAN MANUSIA SEJAGAT


Malaysia tidak pernah mengetepikan nilai dan kepentingan kemanusiaan seja­gat. Di mana ada keperluan, di situ dihantar bantuan. Malaysia turut bersama dalam misi-misi keamanan di seluruh dunia.

Malaysia bersuara lantang dan tegas dalam isu Rohingya. Hasilnya, nasib masyarakat Islam yang parah ditekan di bumi Myan­mar itu setidak-tidaknya sudah ‘membuka mata’ masyarakat antarabangsa.

Malaysia turut menghulur bantuan segera. Dibinanya hospital medan di tempat pelarian Rohingya di Bangladesh, selain sumbangan makanan dan pakaian.

Itu belum lagi disentuh tentang peranan Malaysia membantu dan mendamaikan isu masyarakat Islam di Selatan Thailand dan di Selatan Filipina.

Malaysia memiliki sistem pendidikan Islam lengkap dengan meliputi kewujudan institusi berkaitan agama itu di segenap peringkat.

Malaysia menjadi pelupor sistem perbankan Islam, takaful dan sukuk. Model institusi kewangan Islam diasaskan Malaysia menjadi ikutan negara Islam seluruh dunia.

Malaysia tidak kekurangan ilmuwan Islam bijak dan bertaraf profesional. Tidak janggal jika Malaysia dilihat mampu menerajui Dunia Islam.

Negara Islam perlu melepaskan penggantungan kepada negara bukan Islam.Potensi negara Islam untuk bangkit amat besar. Negara Islam kaya dengan pelbagai galian, terutama petrolium.

Umat Islam perlu mencari dimensi baharu agar menjadi pemimpin, bukan selamanya menjadi pengikut.

Umat Islam perlu menjadi pencipta atau pengeluar, bukan selamanya menjadi pengguna. Dunia Islam bukan kecil. Hampir satu pertiga negara di dunia ini adalah negara Islam.  

Suara Islam mampu menjadi suara kuasa besar dunia. Paling tidak pun suara Islam untuk dunia Islam tidak perlu mengharapkan ihsan bantuan negara lain.

Perkara paling penting perlu diusahakan sekarang ialah nasib umat Islam tidak sepatutnya ditentukan oleh kuasa lain.

Monday 18 December 2017

QURAWIYIN UNIVERSITI TERTUA DI DUNIA


University of al-Karaouine atau Universiti Al Qurawiyin adalah sebuah universiti yang terletak di kota Fez, Morroco (Maghribi). Universiti tersebut diiktiraf oleh Buku Rekod Dunia Guiness sebagai universiti tertua di dunia. 

Universiti ini diasaskan oleh Fatima Al Fihri, seorang puteri, pada tahun 859 Masehi dengan falkulti-falkulti serta madrasah yang telah berkembang menjadi pusat ilmu kerohanian Islam dan pusat akademi dalam pelbagai bidang ilmu.   

Ketika itu, Barat masih lagi dalam kegelapan. Hidup dalam kesesatan dan sistem pemerintahan yang hanya berteraskan kekuatan, sihir, tahyul dan kurafat di mana peradaban bangsa Barat boleh diumpama terlalu jauh dari sifat kemanusian.

Terdirinya pusat ilmuan Islam di Fez menjadi titik mula lahirnya begitu ramai ilmuan Islam dalam pelbagai bidang.

Sejarah Islam menyaksikan Universiti Qurawiyin di Fez sebagai sebuah institusi keilmuan yang tersusun dan dasar pengajian yang begitu teratur.  

Universiti Qurawiyyin terus berkembang dan membesar pada zaman pemerintahan Khalifah Umayyad.

Kemuncaknya kejayaan besar Univerisiti Qurawiyyin ini adalah di bawah pemerintahan Al Murovid atau dinasti Marinid pimpinan Sultan Abu Inan Faris pada tahun 1349 di mana hasil tulisan ilmuan Islam terkenal seperti Imam Malik.

Di perpustakaan Univerisiti Qurawiyyin ini tersimpan naskah asli tulisan Imam Malik "AL Muwatta" ditulis pada kulit rusa.

Anak didik Universiti inilah yang merwarnai para ilmuan Islam terkenal seperti Ibnu Khaldun, Muhammad al Idrisi, Joannes Leo Africanus (Al Hassan Ibni Muhammad al Wazan),  Muhammad Allal al-Fassi, Abd el-Krim, Muhammad Taqi-ud-Din bin Abdil-Qadir Al-Hilali, Abu al-Fadl Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dan ramai lagi cendiakawan Islam lain.  

Universiti Al Qurawiyin dijadikan Universiti berstatus pada tahun 1963 di zaman Morocco moden.Telah diperakui oleh badan warisan dunia UNESCO di mana Universiti Al Qurawiyyin adalah universiti yang tertua di dunia dan masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini. 

BERSAMA MENJAGA KEBERSIHAN TANDAS AWAM

Tahap kebersihan tandas di negara ini masih berada pada tahap kurang memuaskan dan perlu sentiasa dipertingkatkan kebersihannya dari masa ke semasa.

Keadaan itu bukan sahaja melibatkan tandas awam tetapi kemudahan sama di kompleks beli-belah, sekolah, restoran dan sebagainya.

Laporan, aduan dan perbincangan mengenai tandas awam yang tersumbat, kotor, rosak, berbau dan tidak diselenggara dengan baik masih kedengaran di pelbagai tempat.

Persepsi negatif masyarakat kita kononnya mereka bukan masuk percuma atau tandas itu ada pembersihnya telah dibayar pihak tertertu perlu diubah.

Tanggungjawab menjaga kebersihan tandas adalah peranan semua. Membayar masuk tandas bukan alasan untuk kita melaku perbuatan mengotorkan tandas.

Apabila berbayar, mereka akan menggunakannya sesuka hati kerana pada tanggapan mereka ada pihak yang akan melakukan pembersihan. Sebenarnya, kita membayar untuk menggunakan dengan menjaga kebersihan.

Aspek kebersihan tandas terutama tandas awam perlu diitikberatkan jika tidak mahu dilabel sebagai masyakarat pengotor.

Tandas adalah sesuatu yang sangat pen­ting. Setiap orang normal dipercayai akan ke tandas lima atau enam kali sehari.

Bagaimanapun ada yang mungkin terbantut ke tandas apabila tandas tidak bersih akibat tidak diselenggara de­ngan baik, lebih-lebih lagi tandas percuma.

Kata orang, keadaan tandas awam mencerminkan sikap masyarakat sesebuah negara. Semakin kotor tandas awamnya maka semakin rendahlah tahap kebersihan dalam minda setiap ahli masyarakat.

Kebanyakan orang tidak peduli pengguna seterusnya disebabkan pengguna sebelum itu tidak menjaga kebersihan.

Sikap kebanyakan orang, sebaik sahaja masuk ke tandas yang tidak terurus, maka mereka juga terbawa-bawa de­ngan sikap tidak peduli tentang kebersihan.

Etika pengguna amat penting. Jangan disebabkan sudah tidak terurus, pengguna menambah ‘kesengsaraan’ tandas berkenaan.

Bagi mengingatkan masyarakat, pelbagai kempen ke­sedaran penjagaan tandas awam sudah diadakan. Namun apakah ia meninggalkan impak dalam memupuk sikap menjaga kebersihan tandas awam?

Penguatkuasaan seperti ini bukan terhad di tandas awam berbayar atau sebaliknya tetapi juga di pejabat atau di sekolah. Di sekolah isu tandas kotor sudah lama berlaku.

Vandalisme di tandas juga dilaporkan. Di pejabat juga, jika tidak ada kontraktor pembersih, tidak pasti sejauh mana tahap kebersihannya.

Kerosakan di dalam tandas sudah lumrah. Paip air rosak, pam tidak berfungsi, kunci pintu rosak, penyangkut pakai­an hilang dan macam-macam lagi.

Kebersihan tandas juga harus dinilai dari dinding, pintu dan lantainya. Dinding dan pintu harus bebas dari contengan perkataan dan lukisan yang memualkan.

Malu jika pelawat berkunjung, ada ayat-ayat yang menghentam majikan, kata-kata lucah dan sebagainya. Lantai jangan dikotori dengan tisu, tuala wanita, kotak rokok kosong, surat khabar dan puntung rokok.

Ingatlah, tandas walaupun tempat kotor, ‘hodoh’ untuk membuang najis dan dikatakan tempat syaitan, tetapi tidak sepatutnya ditambah ‘kekotorannya’ dengan bau hancing, najis tidak dipam dan sebagainya.

CARA MUDAH TURUN PARAS KOLESTROL

Cara penyediaannya:
- Kacang bendi 10 - 15 biji dibasuh dan dipotong.
- Air masak 1 liter.
- Masukkan bendi yang telah dipotong ke dalam air.
- Simpan di dalam peti sejuk.
- Amalkan minum secara berterusan.
- Bila air telah habis, boleh ditambah air semula.  
- Air boleh ditambah sehingga 3 kali sahaja.
- Jangan bimbang jika airnya jadi makin likat. Rasanya akan jadi makin sedap.
- Terus mencuba.
- Insya-Allah berjaya.

Sunday 17 December 2017

KHASIAT TOMATO MANFAAT UNTUK KESIHATAN


Tomato buah berwarna merah dan boleh dimakan mentah. Namun, bukan semua orang menggemarinya! Tahukah anda tomato mengandungi pelbagai khasiat tersendiri, termasuk membantu mencegah penyakit berbahaya?

Warna merah itu ialah disebabkan likopena, iaitu karotenoid atau sebatian semula jadi yang memberikan warna merah kepada tomato dan pelbagai khasiat kebaikan antioksidan semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Selain mempunyai kebaikan antioksidan, makanan yang mengandungi likopena itu juga boleh mengurangkan risiko beberapa jenis kanser dan penyakit jantung.Hasil kajian pakar penyelidik asing mendapati bahawa kandungan likopena begitu tinggi dalam pes tomato, sos tomato dan jus tomato.

Cara terbaik bagi menambah jumlah likopena di dalam badan manusia adalah melalui pengambilan makanan berasaskan tomato dan produk masakan yang diperbuat daripada bahan itu.

Likopena dapat membantu mencegah penyakit tertentu seperti kanser prostat, kanser paru-paru dan kanser perut. Likopena juga dapat membantu mengurangkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan sekali gus mengawal tekanan darah supaya stabil.

Sumber terbaik untuk mendapatkan likopena ialah dari sos spagheti, jus tomato, tembikai, pes tomato, sup tomato, cili sos dan sos koktel. Kira-kira 80 peratus likopena terkandung di dalam produk tomato dan buah tomato tetapi hakikatnya, tomato yang sudah dimasak mengandungi likopena yang lebih tinggi.

Proses memasak akan memecahkan dinding sel tomato yang sekali gus membenarkan tubuh manusia menyerap likopena.

Oleh itu, tambahkan tomato dalam menu harian. Tingkatkan kreativiti dengan masak menu berlainan agar tidak bosan. Jika anda sedang dalam pelan menguruskan badan, ambil tomato sebagai snack jika terasa lapar.

 Selain diketahui sebagai ejen mencantikkan kulit, sumber nutrisi lycopene juga dapat membantu dalam pemulihan kulit. Sebuah kajian membuktikan bahawa dengan memakan sos tomato berterusan selama 3 bulan dapat mengurangkan kerosakan kulit akibat sinaran radiasi matahari sebanyak 30%.
 
Kebiasannya lobak sering dikaitkan dengan kesihatan mata, tetapi tahukah anda bahawa tomato juga turut mempunyai khasiat yang sama? Kandungan vitamin A dan C yang terdapat dalam tomato dapat membantu pemulihan penglihatan mata serta mengurangkan dari terjadinya rabun malam. Ianya turut menghalang penyakit mata macular degeneration yang menyebabkan kesukaran untuk melihat.
 
Pengambilan tomato secara berterusan dapat memberi kelegaan kepada kesakitan akibat batu karang. Selain itu, menerusi beberapa kajian yang dijalankan juga membuktikan bahawa tomato dapat menghalang terjadinya penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser prostat.

KETEPATAN FAKTA DI MEDIA SOSIAL DIUTAMAKAN


Pemahaman tentang sejarah pembentukan negara dan kandungan Perlembagaan Persekutuan amat penting. Jangan ubah apa yang telah dipersetujui bersama semasa kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada 1963 yang melibatkan Sabah dan Sarawak.

Sehebat mana sekalipun kuasa media baharu dan media sosial ia mestilah dipandu dengan pemikiran yang berwawasan, pandangan bijaksana, idea bernas dan berilmu bagi membangunkan negara.

Pandangan negatif, bercampur fitnah, tidak logik dan penuh dendam seharusnya diketepikan bagi mengelakkan prasangka buruk yang boleh mempengaruhi masyarakat.

Pengendali media baharu dan media sosial serta blog mesti bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang mesti betul tepat dan berilmu.

Jika ditinjau kebanyakan bahan yang disampaikan dalam media baharu dan media sosial masih boleh dipertikaikan kesahihannya. Ada unsur fitnah, bidaah, prasangka, tohmah, tuduhan tanpa bukti.

Lantaran itu, unsur ilmu dan kebenaran yang dapat dibuktikan memang kurang dalam penyampaian maklumat.

Hal inilah kadang-kadang menjadikan orang mudah percaya sedangkan maklumat palsu yang diputar-belit dan disampaikan berkali-kali sehingga orang ramai pun yakin dan percaya.

Keyakinan dan kepercayaan ini memang banyak mempengaruhi rakyat apabila mereka secara berterusan disogokkan dengan berita yang sama.

Perkara fitnah dianggap benar, sedangkan kebenaran pula dianggap dusta. Rakyat dikelirukan dengan fakta yang direka-reka dan diyakinkan dengan sendikit kebenaran yang sebenarnya tiada kaitan dengan perkara pokok yang disebarkan.  

Oleh itu, sebagai pengendali media baharu dan media sosial jangan hanya menyampaikkan sesuatu berita bersandarkan persepsi dan tidak mempunyai bukti kukuh.

Kesannya amat bahaya kerana ia boleh meruntuhkan sebuah negara, meruntuhkan tamadun bangsa dan merosakkan nilai baik yang telah kita bangunkan sejak puluhan tahun dalam sebuah negara yang merdeka, aman dan sejahtera.

Banyak kuasa besar runtuh disebabkan fitnah berleluasa. Rakyat jadi keliru dan pihak musuh ambil kesempatan merampas kuasa. Ambil pengajaran itu agar tidak berlaku kepada negara kita.

Perkara terpenting ialah pengendali media baharu dan media sosial mesti berilmu, beriman dan bijaksana menyampaikan berita dan maklumat.

Jika berita yang tidak sahih disampaikan ia akhirnya akan beri kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara dalam jangka masa yang lama.

PERANAN KUASA MEDIA SOSIAL PILIH KERAJAAN


Media baharu dan media sosial menguasai dan mampu memainkan peranan ke arah pembentukan sesebuah kerajaan. Peranan dan kuasa media baharu bakal penentu pilihan pengundi.

Kuasanya terletak pada tangan dan jari orang muda yang kebanyakan menguasai media baharu dan media sosial.

Statistik menunjukkan 82 peratus pengundi menggunakan media sosial malah 90 peratus pengundi muda aktif dalam medium tersebut.

Pihak berjaya menguasai media sosial bakal memperoleh untung besar dalam menentukan pola pemikiran politik semasa. Dalam aspek propaganda dan gerak saraf perang saraf (GSPS), ketepatan fakta tidak penting.

Ini bukan bermakna mengajar melakukan perkara tidak betul dalam meraih undi. Namun, dalam kempen politik, tidak banyak perkara boleh dijangka.

Apa sahaja yang dapat memberi keuntungan politik digunakan semaksima.

Hakikatnya, kita mengharapkan pemain politik lebih bertanggungjawab dalam menguasai pentas politik terutama di media sosial yang kesannya turut melibatkan semua pihak.

Kita berasa sedih apabila golongan muda dilatih menjadi pejuang siber secara salah. Mereka menyerang secara melakukan fitnah dan tidak mementingkan fakta.

Nilai pekerti tidak lagi diutamakan. Tindakan mereka di laman sosial seperti tidak berasa bersalah langsung biarpun perbuatan itu boleh mendatangkan malapetaka besar kepada negara.

Pejuang siber perlu mementingkan persepsi tepat dan betul dengan akal bijaksana dapat menguasai apa yang ingin ditulis dan disampaikan kepada masyarakat.

Sebagai generasi muda mestilah menghantar mesej yang baik dan tepat tentang pembangunan masa depan, terutama perkara berkaitan agama, bangsa dan negara.

Jangan sekali-kali gadaikan negara dengan tulisan atau mesej yang boleh menghancurkan kehidupan kita selama-lamanya.

Thursday 14 December 2017

REZEKI GULA DAN SEMUT

Gula dan semut tidak dapat dipisahkan. Kemanisan gula menjadi tarikan kepada semut yang sanggup bergerak ke sana sini untuk mencari manisnya gula.

Gula menggunakan 'manis' sebagai daya tarik mencari rezeki. Manakala semut menjadi kesungguhan untuk mendapatkan rezeki.

Dua keadaan berbeza. Gula menggunakan kaedah menarik untuk datang kepadanya. Sedangkan semut mengamalkan prinsip pergi mencari.

Setiap kita mempunyai kelebihan diberikan Allah. Maka, gunakan keistimewaan itu. Jangan tiru orang lain. Gula sudah pasti tidak boleh berusaha seperti semut. Manakala semut pula tidak boleh meniru gula.

Jadi, berhati-hati dalam meniru. Kenal pasti keupayaan diri. Kaji kelebihan dan kelemahan diri. Ambil dan guna kelebihan dan perbaiki atau abaikan kelemahan.

Kalau sudah tahu kelemahan diri, usah dicuba mengguakan pendekatan mengikut cara yang kita lemah itu. Cari dan guna kelebihan yang ada. Itu lebih mudah daripada membaiki kelemahan dan kemudian ingin diperkasakan sebagai satu kelebihan.

Sunday 26 November 2017

PENTING CARI PEMIMPIN KUAT

Mencari pemimpin kuat. Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan melicinkan parti untuk bergerak ke hadapan dengan lebih baik di samping mampu menambat keyakinan pengundi.

Pemimpin yang kuat ialah mereka yang mendapat sokongan akar umbi. Maknanya mereka mendapat sokongan dalam apa juga keadaan.

Sememangnya sokongan akar umbi adalah penting kerana ia menjadi tunjang kekuatan bagi seseorang pemimpin itu. Tetapi untuk mendapat sokongan akar umbi bukanlah mudah.

Pemimpin itu perlu benar-benar berjiwa rakyat dan sentiasa mementingkan suara akar umbi, biarpun apa juga jawatan yang disandangnya.

Apabila berada pada kedudukan yang tinggi dalam parti, seseorang pemimpin itu sudah merasakan dia sudah kuat sehingga suara-suara akar umbi tidak dipedulikan. Lebih malang, langkah atau tindakan yang dilakukan lebih banyak didorong oleh nasihat atau cadangan orang sekeliling dan bukannya mendengar apa kata rakyat.

Kesudahannya rakyat atau ahli parti menjadi bosan dan mereka menghukum pemimpin itu dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya dan apabila itu berlaku barulah, kita hendak bercakap soal mendengar suara akar umbi.

Ahli-ahli akar umbi ini harus dibenarkan untuk meluahkan apa sahaja perasaan demi kebaikan parti kerana mereka juga turut berasa malu dengan apa yang terjadi.

Sindrom tidak boleh bercakap atau tidak dibenarkan bercakap harus dihapuskan. Dalam usaha mewujudkan kepimpinan yang kuat memerlukan ketelusan yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan retorik. Melalui pendekatan bersikap terbuka untuk mendengar luahan di peringkat akar umbi, ia sudah pasti akan membantu memperbaiki kelemahan.  

Pemimpin-pemimpin tidak harus cuba menyembunyikan fakta. Kalau kepimpinan yang kuat itu hendak diwujudkan, tindakan mendengar keluhan rakyat di peringkat bawah adalah penting.

Negara perlu berusaha untuk mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat ketika sedang berhadapan dengan cabaran yang getir. Jika negara terus memiliki barisan kepimpinan yang lemah dan dilihat tidak mempunyai cengkaman bagi mengawal apa juga situasi termasuklah tuntutan-tuntutan melampau kaum-kaum lain, ia boleh meletakkan orang Melayu dalam keadaan bahaya.

Kalau parti-parti komponen lain sudah menyatakan dengan tegas bahawa mereka akan memperjuangkan nasib kaum yang mereka wakili, kenapa UMNO perlu berselindung lagi.

UMNO harus berani dan pemimpin harus kuat untuk berhadapan dengan situasi itu. Jangan sampai dilihat terus lemah sehingga ia memberi kesempatan kepada orang lain untuk memijak Melayu.  

Pemimpin yang dipilih perlu berdasarkan kepada rekod perkhidmatan dan pengalaman. Jika pemimpin dipilih menggunakan laluan ekspres ia bermakna pemimpin itu tidaklah sekuat mana. Pemimpin yang bakal dipilih biarlah pemimpin yang menggunakan 'tiket henti-henti', maknanya bermula dari bawah dan sudah benar-benar sebati dengan hati nurani rakyat di peringkat bawah.

Begitu juga jika memilih pemimpin yang dilihat proksi kepada mana-mana pemimpin. Ini juga boleh membawa kehancuran kepada negara. Apa yang penting kena pilih pemimpin yang memahami sentimen rakyat.

Mereka tidak harus menganggap seseorang pemimpin itu kuat hanya semata-mata kerana dia mempunyai hubungan atau berada dalam satu kem dengan pemimpin tertentu.

Monday 20 November 2017

SYAITAN GODA NABI MUSA


Syaitan akan mengganggu dan menggoda sesiapa sahaja.  Diriwayatkan Nabi Musa pernah didatangi syaitan dan berlakulah dialog berikut.

Syaitan berkata: “Wahai Musa, engkaulah yang dipilih Allah untuk membawa risalah-Nya dan engkaulah yang sentiasa berkata benar.  Aku salah satu makhluk berdosa dan ingin bertaubat.  Mohonkanlah kepada Tuhan agar diberikan taubat kepadaku.”

Lantas Nabi Musa memohon kepada Allah dan diperkenankan, lalu baginda menemui syaitan.  Kata Nabi Musa: “Hai syaitan, engkau diperintahkan sujud hormat kepada kubur Nabi Adam dan selepas itu, barulah taubatmu diterima Tuhan.”

Mendengar nama Nabi Adam, syaitan menjadi naik marah.  Lalu syaitan berkata: “Sewaktu Adam masih hidup, aku tidak sujud, inikan pula sudah dia mati.  Hai Musa, sesungguhnya engkau berhak menerima balasan daripada aku kerana engkau sudah memohon syafaat kepada Allah buat pengampunanku.  Namun, ingatlah wahai Musa mengenai tiga perkara nescaya aku tidak membuat kebinasaan ke atasmu.

Lantas Nabi Musa bertanya: “Apakah tiga perkara itu.”

Lalu syaitan menjelaskan: “Pertama, ingatlah ketika kau sedang marah, aku akan membawa bisikan ke dalam hatimu.  Mataku akan berada dalam matamu dan aku berjalan dalam tubuhmu menurut perjalanan darah.”

Tambah syaitan lagi: “Ketika kau bertempur di medan perang menghadapi musuh, aku akan datang mengingatkanmu kepada anak, isteri dan keluarga agar berundur secara teratur.”

Untuk yang ketiganya, syaitan berkata: “Berhati-hatilah duduk dengan perempuan yang bukan muhrim kerana aku akan menjadi penghubung antara kau dan perempuan itu dan antara perempuan itu dengan engkau.”

Untuk menghindari daripada terkena hembusan tipu daya syaitan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Bacalah surah al-Falak dan surah an-Nas tiga kali apabila kamu berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila kamu berada pada waku petang supaya kamu terpelihara dan terselamat daripada segala bahaya bencana.” (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Nasai).