Sunday 11 December 2016

Durian musang king


Durian dipanggil raja buah. Varieti durian paling terkenal sekarang adalah musang king atau raja kunyit. Permintaan terhadap musang king amat tinggi biarpun diketahui harganya agak mahal.

Permintaan terhadap durian agak tinggi kerana ia buah-buahan bermusim.  Penggemarnya hanya dapat menikmati pada musim-musim tertentu.   

Pun begitu, memandangkan pemasaran durian kini menyeluruh, penduduk di sesuatu kawasan dapat menikmati durian walaupun di kawasan tempat tinggalnya belum tiba musim durian.

Ini kerana durian dari tempat lain kini dipasarkan hampir di semua tempat yang mendapat permintaan penduduk setempat.   

Durian terdapat banyak varieti.  Untuk mudah dikenali dan rekod, Jabatan Pertanian mendaftarkan di bawah huruf 'D'.  Jadi semua varieti durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian bermula dengan D dan diikuti nombor.  

Nombor itu tidak menunjukkan bilangan atau jujukan didaftarkan. Antara varieti telah didaftarkan ialah D24, D123 dan D197.

Terkini, antara varieti terkenal ialah D197 selain D24 yang lebih dahulu dikenali.  Durian varieti D197 atas nama Raja Kunyit. Namun kini ia lebih dikenali Musang King.  Durian ini banyak ditanam di kawasan Kelantan, Pahang, Johor dan Perak. 

Varieti ini telah didaftarkan oleh Wee Chong Beng dari Tanah Merah, Kelantan pada 9 Disember 1993.  

Semasa didaftarkan nama raja Kunyit berdasarkan pencirian durian ini yang berbentuk bulat bujur, kulit berwarna hijau muda, isi berwarna sangat kuning, isi tebal, rasa lemak, sangat manis dan sedikit rasa pahit. 

Durian ini memdapat permintaan yang tinggi untuk penamanan sejak didaftarkan dan merupakan varieti durian yang popular. Bahkan, varieti tersebut telah dibawa dan ditanam di luar negara, khususnya Indonesia.   

Pada masa ini kawasan di Bentong dan Raub di Pahang merupakan kawasan pengeluaran utama varieti ini. 

Antara ciri raja kunyit ialah warna perang kekuningan pada pangkal duri dan tengah duri sementara  di hujungnya berwarna perang. Buah ini sangat senang untuk dibuka apabila telah gugur dan cukup masak. 

Tekstur ini buah raja kunyit dikatakan sebagai sederhana, begitu juga kepejalan isinya yang sama sederhana.  Aroma pada isinya adalah sedikit tidak seperti durian lain yang aroma isinya kuat. Lazimnya terdapat 4 ulas biji atau isi pada setiap pangsa. 

Harga sekilogram raja kunyit sekitar RM30 hingga RM50. Bagaimapun ada ketikanya harga boleh mencecah sehingga RM100 sekilogram. Namun pada masa puncak ia gugur, harganya boleh jatuh pada paras serendah RM20 sekilogram.  

No comments:

Post a Comment