Thursday 16 June 2016

Haram main mercun

Hukum berat pengedar mercun. Tragedi malang membabitkan kanak-kanak mangsa mercun sentiasa menjadi topik setiap kali Ramadan dan Syawal. Untuk mengelak, elok hukum salah edar mercun patut lebih berat. Perbuatan edar dan jual mercun mendatangkan kecelakaan hingga hilang nyawa. 

Mengapakah perkara ini terjadi? Bermain mercun bukan budaya dalam Islam. Amalan membakar mercun adalah budaya masyarakat Cina setiap kali menyambut perayaan atau meraikan sesuatu kejayaan. Peliknya, semasa perayaan Tahun Baru Cina tidak pula ada laporan mengenai kecelakaan akibat mercun.      

Kemeriahan Ramadan sepatutnya disambut dengan meningkatkan ibadat dan melakukan perkara yang baik. Ironinya, banyak di kalangan masyarakat Islam yang melakukan perkara yang diegah atau bertentangan dengan syariat Islam. Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya dan merugikan.

Mercun dan bunga api diharamkan di negara kita. Agensi kerajaan seperti polis dan kastam sentiasa bertindak tegas untuk membenteras penyeludupan dan penjualan mercun.

 Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan. Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, undang-undang itu dipandang ringan oleh kebanyakan orang. Masih ramai melakukan kesalahan menyeludup dan menjual mercun. Mercun diseludup dari luar negara beberapa bulan sebelum musim perayaan bertujuan mengabuli mata penguatkuasa. Taktik ini dikesan pihak berkuasa yang memberi tumpuan mengelak penyeludupan mercun sepanjang tahun.     

Keuntungan berlipat ganda menyebabkan banyak orang sanggup melakukan kesalahan dan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang yang berat. Ada penjenayah melakukan kesalahan sama biarpun pernah dikenakan hukuman sebelum itu. Mungkin pihak kerajaan perlu menimbangkan menggubal undang-undang mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah berkaitan mercun.

Penjualan mercun masih berleluasan disebabkan ada permintaan daripada orang ramai, khususnya kanak-kanak. Ibu bapa sepatutnya mengawasi anak masing-masing agar tidak terlibat bermain mercun.

Ibu bapa jangan berkompromi dengan isu mercun. Biarlah anak merengek dan merayu, tetapi jangan sekali-kali membenarkan mereka bermain mercun. Carilah altenatif lain untuk berhibur menyambut perayaan. 

Tindakan ibu bapa yang membeli mercun untuk anak bermain samalah seperti memberikan mereka sebutir bom. Banyak kes kecelakaan mercun melibatkan yang dibeli oleh ibu bapa sendiri. Itu satu jenayah besar bapa terhadap anak. Kesan kecederaan akibat mercun ditanggung oleh anak seumur hidup, bahkan ada melibatkan kes kematian.