Friday 30 December 2016

Khasiat minyak sacha inchi kawal kadar gula

 
Sacha inchi mengandungi protien sebanyak 27 peratus dan minyak sebanyak 35 hingga 60 peratus. Kandungan minyak di dalamnya kaya dengan asid lemak penting seperti omega-3, omega-6 dan omega-9 serta vitamin A dan vitamin E. 
 
Gabungan ketiga-tiga lemak asid itu dapat mengurangkan paras kolestrol jahad dan juga meningkatkan kolestrol baik. Sacha inchi dikenali sebagai makanan terbaik omega di mana dapat meningkatkan fungsi jantung dan otak. 
 
Pokok sacha inchi digelar sebagai ‘raja omega’ kerana kandungan omega lebih tinggi berbanding dengan sumber omega lain. 
 
Minyak sacha inchi yang diperoleh dari biji buahnya memiliki kandungan Omega 3 sebanyak 17 kali lebih tinggi dari ikan salmon.
 
Kebaikan sacha inchi:
- Mencegah dan melawan sel-sel kanser
- Mengurangi risiko serangan jantung
- Menurunkan kolesterol secara semula jadi
- Menstabilkan tekanan darah
- Mengurangi risiko strok
- Menurunkan risiko diabetes
- Mengawal kadar gula darah
- Memperlambat penuaan wajah
- Mempertahankan kekenyalan kulit
- Mengatasi masalah pencernaan
- Memperlancar buang air besar
- Mengurangi rasa sakit dan peradangan di seluruh tubuh
- Membantu menurunkan berat badan
- Menguatkan ingatan
- Membantu perkembangan fungsi otak
- Mengurangi gejala menopouse
- Memperbaiki metabolisme tubuh
- Meningkatkan pembakaran lemak
- Mencegah dan membantu memulihkan depresi
- Bermanfaat untuk radang sendi
- Meningkatkan penglihatan
- Meningkatkan kesuburan
- Memperkuat sistem kekebalan tubuh
- Membantu mencegah pelbagai penyakit.

Lumpuh akibat niat buruk


Dalam sebuah kitab menceritakan bahawa apabila Nabi Ibrahim hendak pergi ke Mesir maka beliau mendapat tahu bahawa raja Mesir itu sangat jahat. Baginda sangat suka mengambil perempuan dan isteri orang dengan paksa untuk dijadikan pemuas nafsu.  

Raja Mesir itu mempunyai orang-orang suruhan di setiap pelusuk untuk mencari wanita cantik untuknya.

Apabila Nabi Ibrahim mendengar berita tentang perbuatan raja tersebut maka beliau sangat risau sebab isteri beliau, Siti Sarah adalah wanita yang sangat cantik. Nabi Ibrahim telah membuat peti dan memasukkan Siti Sarah ke dalam peti dan menguncinya.  Peti itu diletakkan di belakang unta dan terus menuju ke Mesir.

Apabila sampai di suatu tempat maka pembantu raja Mesir mengarahkan supaya peti tersebut di buka. Nabi Ibrahim enggan membuka peti tersebut sehingga datang pembantu-pembantu raja lain. Akhirnya mereka membuka peti tersebut dan mereka terkejut apabila dilihat seorang wanita yang sangat cantik berada di dalam peti itu.

Salah seorang dari pembantu raja itu bertanya: “Apakah wanita ini isteri kamu?”. Nabi Ibrahim berkata: “Dia adalah adik kandungku”.

Pembantu raja itu berkata: “Saya fakir wanita ini sangat sesuai untuk raja kami”.

Setelah berkata demikian, maka pembantu raja pun membawa Siti Sarah kepada raja Mesir. Allah SWT telah membuka hijab yang mana Nabi Ibrahim dapat melihat apa yang berlaku di dalam istana biarpun beraada di luar.

Apabila Siti Sarah berada di hadapan raja Mesir itu maka raja Mesir itu menghampiri Siti Sarah dan menghulurkan tangan kepada Siti Sarah. Oleh kerana Siti Sarah adalah isteri kekasih Allah maka Allah SWT melumpuhkan kaki dan tangan raja Mesir itu.

Apabila raja Mesir berasa kaki dan tangannya menjadi lumpuh maka diapun berkata: “Wahai wanita ahli sihir, kamu telah melumpuhkan kaki dan tanganku”.

Siti Sarah berkata: “Wahai raja yang zalim, aku bukannya ahli sihir seperti yang kamu sangkakan.  aku isteri Khaliilullah (isteri kekasih Allah). Dia telah berdoa kepada Allah SWT dan Allah SWT telah menerima doanya dengan melumpuhkan kamu”.

Akhirnya raja Mesir itu bertaubat lalu Allah SWT menyembuhkan kaki dan tangannya menjadi baik seperti mulanya pada ketika itu juga.

Setelah kaki dan tangannya sembuh, maka dia memandang Siti Sarah dia berkeinginan lagi ke atas Siti Sarah. Akibat perbuatan itu, raja itu menjadi buta. Sekali lagi dia bertaubat dan Allah SWT pun mengembalikan penglihatannya.

Setelah raja itu dapat melihat semula maka perangai syaitannya itu tetap tidak berubah dia cuba menggangu Siti Sarah buat kali ketiga. Kali ini keseluruhan anggotanya lumpuh. 

Sebaik sahaja keseluruhan anggota raja itu menjadi lumpuh maka diapun memerintahkan pengawalnya membawa Nabi Ibrahim masuk mengadap.

Setelah Nabi Ibrahim datang, maka raja yang lumpuh itu berkata: “Wahai Ibrahim, hukumlah saya sekehendak hatimu”.

Nabi Ibrahim: “Ini adalah perintah Tuhan saya, oleh itu saya tidak akan bertindak menghukum sesuatu dengan perintah Allah”.

Sebaik sahaja Nabi Ibrahim selesai berkata maka turunlah malaikat Jibrail lalu berkata:  “Wahai Ibrahim, Allah SWT berkata kepada kamu:  ‘katakanlah kepada raja itu supaya dia menyerahkan  kesemua kerajaannya dan segala harta bendanya kepada kamu, kemudian berdoalah kamu untuknya’”.

Setelah Nabi Ibrahim mendapat perintah maka beliau pun berkata kepada raja tersebut tentang hukum Allah, raja tersebut reda dengan hukum Allah. Setelah raja itu bersetuju dengan hukuman tersebut maka Nabi Ibrahim pun berdoa untuknya, akhirnya Allah menyembuhkan kembali seluruh anggota raja tersebut dan dia dapat bergerak seperti sedia kala.

Apabila raja itu telah sembuh dari lumpuhnya maka dia pun menghadiahkan Siti Hajar (budak perempuan) kepada Siti Sarah. Apabila Siti Sarah menerima Siti Hajar maka Siti Sarah pun berkata: “Aku rela suamiku berkahwin dengan Siti Hajar kerana dia bersusah hati sebab tidak mempunyai anak”.

Setelah itu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Sarah, janganlah kamu bersusah hati, sesungguhnya Allah telah membuka hijab antara kau dan saya”.

Budak perempuan bernama Siti Hajar setelah berkahwin dengan Nabi Ibrahim melahirkan seorang putera bernama Ismail yang turut menjadi nabi. 

Thursday 15 December 2016

Lelaki lembut ciri pondan

Pondan, kedi, lembut dan panggilan seumpama merujuk kepada lelaki yang bersifat ciri perempuan. Terdapat tiga golongan kategori pondan, termasuk transexual (mereka yang menjalani pembedahan menukar jantina), transvestite (mereka yang sekadar berasa perlu berpakaian atau berkelakuan mengikut jantina berbeza) dan homoseksual (mereka yang cenderung pada kaum sejenisnya).

Golongan yang dikategorikan transvestite sekadar suka bergaya ala orang perempuan dan pada hakikatnya mereka sedar dan masih ingin kekal sebagai lelaki.  

Malah, sebahagian mereka dalam tempoh tertentu akan kembali menjadi lelaki normal biarpun masih kelihatan lembut, terutama apabila sudah berkahwin.   

Transvestism ialah amalan berpakaian dan berperangai yang bertentangan dengan jantina. Fenomina ini mula berlaku sekitar tahun 1910an.

Perkataan transvestism mula diperkenalkan oleh Magnus Hirschfeld yang bermaksud ‘berlawanan’ dengan norma jantina, contohnya lelaki yang berminat berpakaian wanita dan sebaliknya.

Manakala anak yang dikategorikan sebagai transexual pula bukan setakat suka beraksi seperti wanita tetapi golongan ini menyimpan hasrat untuk menukar jantina.

Golongan ini adalah golongan lelaki yang ingin menjadi wanita kerana berasa diri mereka terperangkap dalam tubuh lelaki.

Mereka bencikan bentuk tubuh mereka. 'Mereka ingin menghapuskan bulu-bulu di badan dan ingin mengencangkan buah dada.

Golongan inilah yang cenderung melakukan pembedahan untuk menukar penampilan mereka. Kajian rata-rata menunjukkan tidak terdapat sebarang punca dari segi biologi dan ia dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan persekitaran seseorang. 

Sebagai contoh, anak yang tidak mempunyai seorang ayah sebagai contoh dalam keluarga atau ayah yang tidak banyak terlibat dalam pembangunan anak dan keluarga boleh merangsang keadaan sebegini.  

Ada kalanya juga sesetengah ibu bapa yang terlalu inginkan anak perempuan kemudian memilih untuk mengenakan anak lelaki dengan pakaian anak perempuan juga boleh menjadi penyebab.   

Apa yang masyarakat sekeliling sedari ialah tentang kecenderungan kumpulan sebegini menjadi bahan usikan yang sekali gus hanya akan membuat mereka berasa lebih sunyi dan ingin bersikap tertutup. Adalah lebih baik untuk menghentikannya semasa anak itu masih kecil.

Pun begitu, jangan lakukan secara membabi buta. Lakukan secara berhemah. Perlu ada keseimbangan. Nyatakan yang kelakuannya tidak dapat diterima dan dia perlu berubah. Bimbing dan beritahu mereka perbuatan itu salah dan perlu dihentikan.  

Sebagai contoh, jika anak itu sengaja menggunakan suara lembut ketika bercakap-cakap, jangan mempedulikan kata-katanya sehingga dia kembali menggunakan suara asalnya.

Sekiranya ibu bapa berasa sukar untuk membantu anak kembali ke jantina asalnya, ada baiknya anak itu dibawa ke doktor untuk mendapatkan rawatan segera.

Manakala golongan homoseksual pula individu yang sukakan kepada jantina yang sama. Contohnya lelaki yang minat kepada lelaki dipanggil gay, manakala wanita yang cenderung kepada wanita pula digelarkan lesbian. 

Sunday 11 December 2016

Durian musang king


Durian dipanggil raja buah. Varieti durian paling terkenal sekarang adalah musang king atau raja kunyit. Permintaan terhadap musang king amat tinggi biarpun diketahui harganya agak mahal.

Permintaan terhadap durian agak tinggi kerana ia buah-buahan bermusim.  Penggemarnya hanya dapat menikmati pada musim-musim tertentu.   

Pun begitu, memandangkan pemasaran durian kini menyeluruh, penduduk di sesuatu kawasan dapat menikmati durian walaupun di kawasan tempat tinggalnya belum tiba musim durian.

Ini kerana durian dari tempat lain kini dipasarkan hampir di semua tempat yang mendapat permintaan penduduk setempat.   

Durian terdapat banyak varieti.  Untuk mudah dikenali dan rekod, Jabatan Pertanian mendaftarkan di bawah huruf 'D'.  Jadi semua varieti durian yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian bermula dengan D dan diikuti nombor.  

Nombor itu tidak menunjukkan bilangan atau jujukan didaftarkan. Antara varieti telah didaftarkan ialah D24, D123 dan D197.

Terkini, antara varieti terkenal ialah D197 selain D24 yang lebih dahulu dikenali.  Durian varieti D197 atas nama Raja Kunyit. Namun kini ia lebih dikenali Musang King.  Durian ini banyak ditanam di kawasan Kelantan, Pahang, Johor dan Perak. 

Varieti ini telah didaftarkan oleh Wee Chong Beng dari Tanah Merah, Kelantan pada 9 Disember 1993.  

Semasa didaftarkan nama raja Kunyit berdasarkan pencirian durian ini yang berbentuk bulat bujur, kulit berwarna hijau muda, isi berwarna sangat kuning, isi tebal, rasa lemak, sangat manis dan sedikit rasa pahit. 

Durian ini memdapat permintaan yang tinggi untuk penamanan sejak didaftarkan dan merupakan varieti durian yang popular. Bahkan, varieti tersebut telah dibawa dan ditanam di luar negara, khususnya Indonesia.   

Pada masa ini kawasan di Bentong dan Raub di Pahang merupakan kawasan pengeluaran utama varieti ini. 

Antara ciri raja kunyit ialah warna perang kekuningan pada pangkal duri dan tengah duri sementara  di hujungnya berwarna perang. Buah ini sangat senang untuk dibuka apabila telah gugur dan cukup masak. 

Tekstur ini buah raja kunyit dikatakan sebagai sederhana, begitu juga kepejalan isinya yang sama sederhana.  Aroma pada isinya adalah sedikit tidak seperti durian lain yang aroma isinya kuat. Lazimnya terdapat 4 ulas biji atau isi pada setiap pangsa. 

Harga sekilogram raja kunyit sekitar RM30 hingga RM50. Bagaimapun ada ketikanya harga boleh mencecah sehingga RM100 sekilogram. Namun pada masa puncak ia gugur, harganya boleh jatuh pada paras serendah RM20 sekilogram.  

Friday 9 December 2016

BTN tanam cinta negara

Tuduhan Biro Tatanegara (BTN) punca perkauman dilakukan pihak yang tidak senang dengan kejayaan agensi kerajaan itu dalam menanam semangat cinta negara dan motivasi. 

Paling menyedihkan apabila tuduhan itu turut dibuat oleh kumpulan tokoh Melayu G25 yang yang  melabelkan BTN sebagai "ultra Melayu yang perkauman" dan menuntut agensi "anti-nasional" itu dibubarkan.

Bila diselidiki, ternyata tindakan kumpulan itu berpunca mereka tidak diasuh dengan rasa cinta negara disebabkan menerima pendidikan di bawah sistem "sosialis" melalui sekolah Inggeris semasa era sosialis.

Biarpun mencapai kejayaan kerjaya dan pernah menyumbangkan khidmat bakti kepada negara semasa perkhidmatan masing-masing dalam kerajaan, banyak bekas pegawai kerajaan seperti ahli G25 yang tidak memahami inspirasi negara yang diperjuangkan melalui BTN.

Tuduhan bahawa BTN ultra Melayu adalah tuduhan semata-mata. Modul dalam BTN tidak menyebut mengenai rasa kebencian terhadap bangsa lain.

Perpaduan dan kesetian kepada negara menjadi teras kepada modul kursus atau seminar diadakan oleh BTN.

BTN yang dituduh melakukan "brainwash" terhadap kakitangan awam dan mengekalkan perkauman dalam bentuk ketuanan Melayu.

Jika ada perbincangan atau modul menyebut mengenai ketuanan Melayu dalam kursus anjuran BTN, itu tidak menyalahi undang-undang dan Perlembangaan.  Perkara 153 ada menyebut mengenai kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Bekas pegawai kerajaan dan orang Melayu berpengaruh yang menyertai G25 mungkin lupa bahawa a[a yang mereka capai selama ini bukan kerana keupayaan mereka semata-mata, tetapi juga adalah manifestasi kepada Perkara 153.

Janganlah setelah mereka berjaya dan mendapat kedudukan yang baik hasil Perkara 153, kini mereka mempersoalkan peranan BTN memperkasakan Melayu dan rakyat keseluruhannya. 

Mereka melihat BTN dalam persepsi yang dibina oleh pembangkang yang begitu takut kepada fakta dan kejayaan BTN membina dan menyebarkan semangat kenegaraan melalui kursus dan seminar yang dianjurkan.

Peserta kursus dan seminar anjuran BTN turut disertai oleh bukan Melayu.  Mereka didedahkan dengan fakta dan saranan untuk membina negara bangsa yang terhindar dengan perasaan perkauman dan sikap ekstrimes.  

Meraka dipupuk dengan semangat dan rasa cinta kepada negara, selain membina jatidiri dan motivasi untuk lebih berjaya. 

Thursday 16 June 2016

Haram main mercun

Hukum berat pengedar mercun. Tragedi malang membabitkan kanak-kanak mangsa mercun sentiasa menjadi topik setiap kali Ramadan dan Syawal. Untuk mengelak, elok hukum salah edar mercun patut lebih berat. Perbuatan edar dan jual mercun mendatangkan kecelakaan hingga hilang nyawa. 

Mengapakah perkara ini terjadi? Bermain mercun bukan budaya dalam Islam. Amalan membakar mercun adalah budaya masyarakat Cina setiap kali menyambut perayaan atau meraikan sesuatu kejayaan. Peliknya, semasa perayaan Tahun Baru Cina tidak pula ada laporan mengenai kecelakaan akibat mercun.      

Kemeriahan Ramadan sepatutnya disambut dengan meningkatkan ibadat dan melakukan perkara yang baik. Ironinya, banyak di kalangan masyarakat Islam yang melakukan perkara yang diegah atau bertentangan dengan syariat Islam. Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya dan merugikan.

Mercun dan bunga api diharamkan di negara kita. Agensi kerajaan seperti polis dan kastam sentiasa bertindak tegas untuk membenteras penyeludupan dan penjualan mercun.

 Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan. Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, undang-undang itu dipandang ringan oleh kebanyakan orang. Masih ramai melakukan kesalahan menyeludup dan menjual mercun. Mercun diseludup dari luar negara beberapa bulan sebelum musim perayaan bertujuan mengabuli mata penguatkuasa. Taktik ini dikesan pihak berkuasa yang memberi tumpuan mengelak penyeludupan mercun sepanjang tahun.     

Keuntungan berlipat ganda menyebabkan banyak orang sanggup melakukan kesalahan dan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang yang berat. Ada penjenayah melakukan kesalahan sama biarpun pernah dikenakan hukuman sebelum itu. Mungkin pihak kerajaan perlu menimbangkan menggubal undang-undang mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah berkaitan mercun.

Penjualan mercun masih berleluasan disebabkan ada permintaan daripada orang ramai, khususnya kanak-kanak. Ibu bapa sepatutnya mengawasi anak masing-masing agar tidak terlibat bermain mercun.

Ibu bapa jangan berkompromi dengan isu mercun. Biarlah anak merengek dan merayu, tetapi jangan sekali-kali membenarkan mereka bermain mercun. Carilah altenatif lain untuk berhibur menyambut perayaan. 

Tindakan ibu bapa yang membeli mercun untuk anak bermain samalah seperti memberikan mereka sebutir bom. Banyak kes kecelakaan mercun melibatkan yang dibeli oleh ibu bapa sendiri. Itu satu jenayah besar bapa terhadap anak. Kesan kecederaan akibat mercun ditanggung oleh anak seumur hidup, bahkan ada melibatkan kes kematian.

Thursday 31 March 2016

Cara pilih serondeng boleh disimpan lebih lama

Serondeng (biasanya dieja serunding atau serundeng) merupakan sejenis masakan daripada siatan daging, ayam, ikan dan sebagainya yang dimasak bersama santan dan rempah-rempah sehingga kering, dan kadangkala berminyak agar tahan lama.
 
Serondeng dimasak dan dikacau tanpa henti hingga betul-betul garing atau kering kerana dengan cara itu saja ia akan tahan lama. Serondeng atau dalam dialek Kelantan dipanggil 'sambal' yang dimasak kering boleh disimpan lama hingga satu tahun.

Selain dimakan bersama nasi sebagai 'perisa', serondeng juga dijadikan inti untuk beberapa jenis kuih, terutamanya ketupat bucu atau ketupat palas. Selain itu ia juga dicampurkan ke dalam bubur, oak dan makanan dalam bentuk cair atau lembik. 

Di Kelantan, antara lokasi penghasilan serondeng terkenal ialah di Kampung Kubur Maras, Kota Bharu dan Kampung Laut Tumpat. 

Selain itu terdapat juga pengusaha serondeng di Machang dan Pasir Mas yang tidak kurang juga terkenal menghasilkan serondeng terbaik.

Setiap pengusaha serondeng memang ada resipi masing-masing. Namun, tidak banyak beza antara satu sama lain. 

Selain, menggunakan ramuan berbeza, satu lagi ciri perbezaan serondeng ialah sama ada ia dalam keadaan garing, kering atau lembab. 

Serondeng garing adalah kering sepenuhnya. Teksturnya seakan-akan hancur. Boleh disimpan lebih lama.

Serondeng kering tidaklah kering sepenuhnya. Masih ada kelembapan dan teksturnya agak lembut. Boleh disimpan melebihi setahun. 

Manakala serondeng lembab dalam keadaan berminyak. Teksturnya agak lembut. Boleh disimpan sehingga 10 bulan. 

Ketiga-tiga jenis ada peminat mengikut cita rasa masing-masing. Sesuai untuk dimakan dengan nasi, dijadikan inti kuih mahupun dicampur dalam makanan jenis bubur.

Tuesday 29 March 2016

Kisah Ratu Balqis

Ibnu Katsir meriwayatkan bahawa Saba adalah gelaran bagi raja dari Yaman. Ratu Saba atau Balqis adalah seorang daripadanya. Ratu Balqis dianugerahi Allah segala kekuasaan dan kehebatan. Semua itu adalah dugaan dan ujian terhadap baginda serta kaumnya.

Bagaimanapun, Ratu Balqis dan kaumnya masih tidak beriman kepada Allah. Mereka yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah.

Allah menjelaskan kisah Ratu Balqis dengan tepat dalam surat al-Naml, ayat 20-44.

Kehebatan kerajaan Ratu Balqis diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman. 

Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman supaya Ratu Balqis menerima risalah Allah. 

Kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis bermula apabila seekor burung dipanggil Hud Hud menceritakan mengenai keadaan Ratu Balqis dan kaumnya yang tidak berpegang kepada jalan Allah.

Pada suatu hari, Nabi Sulaiman memeriksa pasukannya yang disertai oleh haiwan, burung dan bangsa jin. Namun, dalam barisan itu, Hud Hud tidak kelihatan.

Baginda kemudian berkata: "Aku tidak melihat Hud Hud di sini. Jika burung itu tidak hadir kerana alasan yang tidak tepat, aku akan menghukum atau menyembelihnya." 

Hud Hud segara muncul dan dengan rendah hati berkata kepada Nabi Sulaiman: "Aku datang membawa berita yang sangat penting untukmu yang tidak kau ketahui sebelumnya." 

"Ada seorang Ratu di Yaman. Dia sangat kaya raya dan kekuasaannya sangat luar biasa. Syaitan telah membawanya dan pengikutnya ke jalan yang menyimpang. Mereka memuja matahari dan bukan Allah."


Nabi Sulaiman berkata: "Aku akan membuktikan kenyataanmu segera. Kirimkan suratku ini kepadanya dan kita tunggu reaksi daripadanya."


Ratu Balqis membaca surat itu sebaik menerimanya. Kemudian dia berkata kepada penasihatnya: "Surat ini daripada Sulaiman yang menyatakan "Aku memulakan dengan menyebut nama Allah, yang Maha Pemurah dan Penyayang. Janganlah tunjukkan kesombongan kepadaku, dan datanglah kepadaku sebagai seorang Muslim."
 

Ratu Balqis kemudian berkata kepada penasihatnya: "Aku selalu meminta nasihatmu dalam hal-hal penting, katakan apa yang harus aku lakukan?"
 

Penasihat menjawab: "Kita tidak perlu khuatir mengenai surat ini kerana kita sangat berkuasa. Tetapi, bagaimanapun keputusan terakhir tetap berada di tanganmu." 

Ratu Balqis menjawab: "Pertama kita harus menguji berapa besarkah kekuasaannya. Sesungguhnya cara surat ini tiba mengisyaratkan bahawa kita harus berhati-hati dalam menghadapi Sulaiman. 

"Aku akan mengirimkan utusan untuk membawa hadiah yang mahal. Dengan cara ini, kita bukan saja dapat mengukur kekuasaannya, malah menduga apa yang ada dalam fikirannya. Aku tidak menyarankan untuk berperang melawannya kalau dia seorang yang lebih kuat. 

Penyerang selalu merosakkan kota yang dikalahkan dan memalukan penduduknya. Kita harus menghindarkan ancaman yang tidak diharapkan ini."


Utusan Ratu Balqis kemudian menyerahkan hadiah berharga itu kepada Nabi Sulaiman. Baginda berkata kepada mereka: "Kamu dan Ratumu sungguh sudah menyalahertikan pesananku. Bawalah kembali barang yang kau sebut hadiah ini kepada Ratumu kerana Allah telah memberi kepadaku kurniaan yang jauh lebih berharga daripada ini. Kamu semua tidak mampu melawan pasukanku, kami akan mengusir kamu dan memalukan kamu."
 

Utusan itu menyampaikan peringatan Nabi Sulaiman itu kepada Ratu Balqis. Dia turut memberitahunya kebesaran kekuasaan Nabi Sulaiman yang menguasai manusia, burung, haiwan dan jin.

Ratu Balqis menyimpulkan bahawa berperang melawan Nabi Sulaiman sama saja dengan mengundang kehancuran dirinya. Dia memutuskan untuk menyerah kepada Nabi Sulaiman.

Ketika dia bergerak memulakan perjalanannya menemui Nabi Sulaiman, Allah memberitahu Nabi Sulaiman mengenai perkara itu dengan menurunkan wahyunya. 

Nabi Sulaiman memerintahkan pembantu: "Aku mahu singgahsana Ratu Balqis dipindah ke sini sebelum dia tiba ke kerajaanku."


Seorang jin yang sangat kuat dan cerdik berkata: "Aku mampu membawa singgahsana itu ke sini sebelum petang tiba."
 Seorang lagi jin yang berpengetahuan luas dalam kitab berkata: "Aku mampu membawanya ke sini dalam sekelip mata." Lalu, ketika itu, ternyata singgahsana itu telah tiba di istananya. 

Nabi Sulaiman dengan rendah hati berterima kasih kepada Allah di atas segala kurniaan-Nya, termasuk memindahkan singgahsana itu dalam sekelip mata.

Nabi Sulaiman kemudian memerintahkan untuk mengubah sedikit penampilan singgahsana Ratu Balqis untuk menguji kecerdasannya. 

Ratu Balqis tiba di istana Nabi Sulaiman dan bertanya: "Apakah ini singgahsanamu?"
 Dia melihat dan berkata: "Kelihatan seperti singgahsana kepunyaanku."

Ratu Balqis berkata lagi: "Aku cukup mengetahui kekuatan dan kebesaranmu yang luar biasa, tetapi kejadian memindahkan singgahsanaku ke sini menambah bukti keunggulanmu. Aku dengan rendah hati menyerah kepadamu." 

Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal cerdas. 

Golongan jin yang iri hati dengannya membisikkan bahawa Ratu Balqis mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti betis unta.

Nabi Sulaiman sangat cerdik. Baginda menggunakan cara lain untuk memperlihatkan kekuasaan Allah kepada Ratu Balqis. Baginda memerintahkan supaya jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis dan membina sebuah mahligai diperbuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai itu dan sekelilingnya mengalir sungai dengan berisikan ikan. Di atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.

Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: "Apakah ini singgahsanamu? Ratu Balqis menjawab: Mungkin!

Daripada jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman bahawa dia adalah seorang wanita berakal sempurna serta bijaksana.

Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika Ratu Balqis melihat ke dalam istana, dia melihat seakan-akan ada air mengalir lalu mengangkat kainnya, hingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman melihat betisnya itu, tidak ada apa-apa aib pun seperti yang dikatakan jin.

Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: "Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca."
 Ketika itu Ratu Balqis berkata dalam hatinya: "Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak bererti."

Kemudian Ratu Balqis berkata seperti yang disebut dalam al-Quran, yang bermaksud: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam."
 (Surah al-Naml, ayat 44)

Dengan itu, Ratu Balqis menjadi seorang Muslimah. Ratu Balqis juga membawa seluruh dinastinya yang besar dalam kekuasaan Nabi Sulaiman.